Valentino Rossi sah sertai PETRONAS Yamaha SRT tahun 2021

 

KUALA LUMPUR: PETRONAS Yamaha Sepang Racing Team (PETRONAS Yamaha SRT) mengesahkan pelumba berpengalaman, Valentino Rossi akan menyertai pasukan itu bagi saingan MotoGP musim 2021.

Prinsipal pasukan, Datuk Razlan Razali berkata pihaknya mengalu-alukan kehadiran pelumba ikonik dan sudah dianggap legenda itu untuk menyertai pasukan terbabit.

“Dalam masa sama, kami akan melakukan yang terbaik untuk membantunya terus kompetitif sebagai penghargaan atas kepercayaan yang diletakkan olehnya kepada kami.

“Kami berbesar hati dengan peluang ini dan sedia untuk menyahut cabaran. Kombinasi antara Rossi dan Franco Morbidelli pasti akan menjadi gandingan yang mampu menggegar litar dan membantu kami untuk bersaing sebaik mungkin pada musim hadapan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pengumuman itu menyaksikan Rossi dan juga rakan senegaranya, Franco melengkapkan barisan pelumba PETRONAS Yamaha SRT untuk musim depan.

Sebagai rekod, Rossi tidak perlu lagi diperkenalkan kerana pelumba itu sudah dianggap pelumba terhebat sepanjang zaman selepas memecah pelbagai rekod dalam kelas perdana sejak 2000.

Sejak bersaing dalam kelas perdana bermula 2000, dia menjadi satu-satunya pelumba yang memenangi saingan 125cc, 250cc, 500cc dan kejuaraan MotoGP.

Dalam saingan kelas perdana, Rossi memenangi tujuh kejuaraan dunia, 89 perlumbaan, 199 podium, 55 petak pertama dan 76 catatan sepusingan terpantas.-BH

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker