Kebenaran umrah tertakluk kepada kejayaan fasa satu, dua dan tiga

Kebenaran melakukan ibadah umrah bagi negara luar daripada Arab Saudi tertakluk sepenuhnya kepada kejayaan bagi fasa pertama dan kedua yang akan dilaksanakan seawal 1 Oktober ini.

Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel & Tours, Datuk Md Daud Che Ngah, berkata satu perbincangan mengenai prosedur operasi standard (SOP) dengan kerajaan Arab Saudi sudah dilakukan dan berkemungkinan ibadah umrah rakyat negara ini dan negara terpilih lain dibenarkan bermula fasa keempat.

SOP yang dikeluarkan ketika ini hanya untuk fasa pertama dan kedua bagi penduduk di Arab Saudi saja dan fasa ketiga pula untuk negara di bawah Dewan Kerjasama untuk Negara Arab di Teluk (GCC) saja.

“Jadi agak sukar untuk agensi umrah menyediakan protokol dan SOP kerana masih terlalu awal memandangkan Kerajaan Arab Saudi juga mengatakan bahawa prosedur akan sentiasa berubah-ubah.

“Malah sukar untuk agensi umrah membuat persediaan memandangkan visa juga masih belum dibuka, hotel belum memberikan harga. Ketika ini, SOP ditetapkan setiap jemaah perlu mempunyai keluasan kira-kira sembilan meter persegi dalam bilik.

“Dinyatakan pada fasa keempat nanti, perancangan Kerajaan Arab Saudi untuk memberi kebenaran kapasiti penuh jemaah iaitu lebih daripada 100,000 jemaah sehari, pasti ada kesukaran membabitkan penjarakan fizikal,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau menjelaskan, secara tidak langsung kos untuk ibadah umrah juga dijangka meningkat memandangkan banyak faktor lain terbabit seperti syarikat penerbangan yang mungkin mengurangkan jumlah penumpang dalam satu pesawat.

“Jadi atas beberapa faktor juga, kita masih (membuat) penilaian (kerana) Cukai Nilai Tambah (VAT) dulu hanya lima peratus, kini meningkat kepada 15 peratus. Bas yang sebelum ini memuatkan 45 orang, kini dibenarkan hanya 20 orang saja.

“Bagaimanapun, kebenaran untuk kita menunaikan umrah sekarang bergantung sepenuhnya kepada kejayaan fasa satu, dua dan tiga,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Qasswa Travel and Tours (M) Sdn Bhd, Datuk Mohd Najib Alwi, berkata beliau menjangkakan rakyat negara ini akan dibenarkan menunaikan ibadah umrah seawal Januari depan.

Ketika ini semua agensi umrah masih ternanti-nanti SOP daripada Kerajaan Arab Saudi dan mendorong pihaknya untuk tidak menerima sebarang bentuk bayaran bagi pakej umrah.

“Saya mempunyai kira-kira 200 bakal jemaah sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, jadi sukar saya untuk menerima permohonan lain kerana semuanya belum dimuktamadkan.

“Bagaimanapun, apa yang boleh dikatakan, kami juga akan sentiasa bersedia dan akan bekerjasama dengan semua pengendali kesihatan untuk memastikan jemaah mendapat suntikan Polimerase-Transkripsi Terbalik (RT-PCR) sebagai syarat wajib sebelum dibenarkan menunaikan umrah,” katanya. BH

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker