100 individu disyaki ada 2 kerakyatan cuba masuk Sabah melalui jalan tidak sah diusir

Polis Sabah berkata lebih 100 individu disyaki memiliki 2 kerakyatan yang cuba pulang untuk mengundi dalam pilihan raya negeri (PRN) Sabah ke-16 dihalau keluar daripada memasuki perairan Sabah pada Khamis lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Hazani Ghazali berkata, kumpulan itu menaiki 2 bot jongkong dan 2 bot laju dikesan cuba memasuki perairan negara melalui sempadan laut di Sandakan.

“Kita terpaksa halang mereka kerana melalui jalan yang tidak sah.

“Bukan menafikan hak mereka untuk mengundi, tetapi cara mereka masuk tidak betul dan kita perlu halang,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar.

Hazani percaya mereka mempunyai 2 kerakyatan.

Dalam pada itu, Hazani berkata, halangan itu juga dibuat bagi mengelak penularan wabak Covid-19.

Katanya, sepatutnya mereka menggunakan laluan yang sah dan perlu melalui pemeriksaan kesihatan.

“Tetapi mereka menggunakan jalan belakang (tidak sah) dan kita perlu menghalang mereka,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Hazani berkata, proses pengundian setakat ini berjalan baik tanpa sebarang kejadian tidak diingin berlaku dan keadaan terkawal di semua pusat mengundi di negeri itu.

Katanya, sepanjang tempoh kempen yang berakhir tengah malam tadi, polis menerima sebanyak 193 laporan yang dibuat oleh pelbagai pihak.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 58 kertas siasatan dibuka dan kebanyakkannya mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana menfitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

PRN Sabah ke-16 hari ini menyaksikan 1,088,711 daripada 1,103,646 pengundi biasa keluar mengundi bermula jam 7.30 pagi tadi sehingga tamat waktu mengundi pada jam 5 petang ini.

Sebanyak 2,540 saluran di 741 pusat mengundi dibuka di semua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membolehkan rakyat Sabah memilih kerajaan baru. FMT

Kenyataan Kit Siang tentang kerakyatan Orang Asli amat memalukan.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker