PAS tuntut penjelasan dari Umno mengenai sokongan kepada Anwar

Dibayangi dengan khabar Anwar Ibrahim kini mendapat sokongan majoriti ahli parlimen untuk membentuk kerajaan baru, PAS hari ini berkata, parti itu akan mendapatkan penjelasan daripada rakan Muafakat Nasional (MN) mereka berhubung perkara berkenaan.

Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, berkata jika perkembangan itu benar-benar berlaku, bermakna Umno tidakl mematuhi persefahaman yang termaktud dalam piagam MN setahun lalu.

“Ia boleh dianggap sebagai suatu gerakan yang bertujuan menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang terbina di atas permuafakatan BN, Bersatu, PAS, GPS (Gabungan Parti Sarawak) dan beberapa parti lain di atas kejatuhan kerajaan PH (Pakatan Harapan).

“Sehubungan itu PAS berharap untuk mendapat penjelasan yang sejelas-jelasnya daripada Umno atas dasar rakan muafakat dalam MN, seterusnya mengajak Umno untuk kembali menghayati hasrat dan iltizam yang telah disepakati secara bersama ini,” katanya dalam satu kenyataan pagi ini.

Kelmarin Anwar mengadakan sidang media untuk mengumumkan dia memiliki majoriti kukuh bagi membentuk kerajaan baru selepas sejumlah ahli parlimen pelbagai parti berada di belakangnya.

Ia kemudian diikuti dengan kenyataan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, yang mengesahkan tahu ada beberapa ahli parlimen parti itu kini bersama-sama Anwar dan tidak dapat menghalangnya.

Bagaimanapun seorang demi seorang ahli parlimen Umno sudah menafikan mereka menyertai kumpulan Anwar setakat ini.

Anwar pula belum mendedahkan jumlah sokongan diperolehnya kerana ia perlu dipersembahkan kepada Yang Di-Pertuan Agong terlebih dahulu.

Takiyuddin berkata, PAS berpendapat jika benar ada ahli parlimen Umno memberikan sokongan kepada Anwar, bermakna parti itu tidak mematuhi persefahaman yang ditandatangani pada 14 Sep 2019.

“Sukacita diingatkan, Piagam Muafakat Nasional dizahirkan dengan berteraskan matlamat untuk menyatupadukan umat Islam dalam negara, sekaligus berusaha mengalahkan Pakatan Harapan yang diterajui PKR, DAP dan Amanah,” katanya.
Mk

https://mykmu.net/2017/07/23/bila-akar-umbi-umno-pas-dan-cap-bunga-bertemu/

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker