Media dihalang ambil foto dan video di Istana Negara

Tiada sebarang pertemuan mahupun majlis menghadap Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang dijadualkan di Istana Negara, hari ini.

Menurut pihak polis yang ditemui MalaysiaGazette di Istana Negara pagi tadi, setakat ini tiada sebarang upacara mahupun perjumpaan mana-mana ahli politik dengan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Tiada apa-apa yang berlaku di Istana Negara hari ini. Jika ada perkembagan terbaru, pihak Istana Negara akan mengeluarkan kenyataan dari semasa ke semasa,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Rabu lalu, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) mendakwa mempunyai majoriti yang kukuh lagi meyakinkan iaitu hampir dua pertiga kerusi Parlimen bagi membentuk kerajaan.

Menurut Anwar, sokongan Ahli Parlimen itu daripada pelbagai parti termasuk yang berpihak kepada Kerajaan Perikatan Nasional (PN), namun enggan mendedahkan jumlah ahli Parlimen yang menyokongnya.

Dalam pada itu, pihak polis juga meminta semua petugas media agar tidak berada berhampiran dengan Pintu 2, Istana Negara bagi mengelakkan tercetusnya kebimbangan orang awam terhadap pentadbiran negara.

Pihak media juga dihalang untuk membuat sebarang liputan termasuk rakaman video dan foto keadaan semasa pintu masuk Istana Negara yang menjadi laluan utama kepada ahli-ahli Parlimen yang ingin mengadap YDPA.

“Tiada rakaman video dan gambar dibenarkan di hadapan Istana Negara setakat ini.

“Tunggu kenyataan Istana Negara, tak perlu tunggu di sekitar pintu masuk Istana Negara.

“Kita bimbang jika tersebarnya video dan gambar akan menimbulkan kegusaran awam,” katanya lagi.

Setakat jam 10 pagi tadi, tinjauan MalaysiaGazette mendapati terdapat dua kereta peronda polis dan lebih 10 anggota polis mengawal ketat pintu Istana Negara.

Dimaklumkan ia dipercayai untuk memastikan tiada mana-mana pihak berhimpun mahupun menyatakan sokongan kepada Anwar yang sebelum ini mendakwa mempunyai majoriti cukup untuk membentuk kerajaan baharu. MG

Krisis Dengan Istana: Apa Pendirian Anwar Sebenarnya?

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker