Kerjasama Umno-PAS dalam MN tetap kukuh, kata Tuan Ibrahim

Share

Hubungan parti dalam Muafakat Nasional (MN) yang diterajui Umno dan PAS, termasuk anggota terbaru PPBM tidak akan terjejas susulan kenyataan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi bahawa parti itu tidak boleh menghalang mana-mana ahli Parlimennya menyokong Anwar Ibrahim.

Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kenyataan Zahid itu lebih menjurus kepada pendangan peribadi.

Beliau berkata, mana-mana parti memang mahu dan mengarahkan ahli supaya patuh keputusan tidak “melompat”, tetapi jika seseorang wakil rakyat tetap mahu menyokong presiden PKR itu, maka parti tidak boleh menghalang.

“Kita dalam MN tidak akan terjejas dengan kenyataan tersebut, ia pandangan peribadi. Memang parti boleh mengarahkan atau memberitahu ahli Parlimen untuk patuh, tapi kalau individu (wakil rakyat) tersebut tetap nak buat keputusan (sokong Anwar), itu hak masing-masing.

“Ini memang berlaku kalau tengok dalam pelbagai parti yang ada,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Operasi Gempur Cegah Pencemaran Alam Sekitar di Bangi hari ini.

Tuan Ibrahim berkata demikian ketika ditanya sama ada kenyataan Zahid bahawa Umno tidak dapat menghalang ahli Parlimennya daripada menyokong Anwar yang mendakwa mempunyai cukup sokongan membentuk kerajaan baru akan menjejaskan kerjasama dalam MN.

Dalam perkembangan sama, Tuan Ibrahim berkata, MN kekal bersama dan mengadakan pelbagai pertemuan terbaru sebagai persiapan menyambut ulang tahun pertama kerjasama itu yang sepatutnya disambut pada 14 September lepas, tetapi terpaksa ditangguhkan bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) Sabah.

“Pada ulang tahun ini juga kita akan menerima kemasukan PPBM sebagai komponen dalam MN,”katanya.

Anwar umum dapat sokongan hanya sindrom September

Tuan Ibrahim berkata, pengumuman Anwar yang mendakwa mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan hanyalah sandiwara dan merupakan “sindrom bulan September”.

”Beliau (Anwar) sudah banyak kali (umum dapat sokongan), kita panggil ‘sindrom September’. Dulu umum 16 Sept, 26 Sept, setiap kali ada angka 6 dan berlaku pada bulan September kita kena bersedia “ katanya berseloroh.

Tuan Ibrahim sekali lagi meneggaskan semua 18 ahli Parlimen PAS tidak menyokong Anwar dan berdiri teguh bersama kepimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dalam menerajui kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Kita lihat kerajaan PN yang ada ini sebuah kerajan yang kukuh. Ia didokongi oleh kepimpinan semua parti politik yang telah menyatakan sokongan kepada PN dan Muhyiddin,”katanya. FMT

Ingatlah, DAP tetap DAP

Leave a Reply