Isyarat Zahid Supaya PRU Diadakan Segera, Bukan Sokong Anwar

Share

Ketua Penerangan BN Selangor Isham Jalil berkata, pengumuman Anwar bahawa beliau mempunyai sokongan ahli Parlimen untuk menubuhkan kerajaan baru adalah simptom yang menunjukkan kerajaan hari ini tidak stabil dan boleh jatuh pada bila-bila masa.

Seorang pemimpin Barisan Nasional (BN) Selangor berkata, kenyataan Ahmad Zahid Hamidi tidak dapat menghalang wakil rakyatnya menyokong kumpulan Anwar Ibrahim adalah isyarat bagi memaksa pilihan raya umum ke-15 diadakan secepat mungkin.

Ketua Penerangan BN Selangor Isham Jalil berkata, kenyataan itu tidak bermakna presiden Umno itu menyokong pembentukan kerajaan oleh Anwar sebagai perdana menteri.

“Keputusan presiden Umno semalam adalah suatu langkah yang bijak dan betul ke arah pembubaran Parlimen dan pilihan raya baru secepat mungkin untuk mengakhiri ‘impasse’ dan ketidakstabilan politik dan ekonomi yang kita hadapi sekarang,” katanya dalam kenyataan.

Beliau mengulas kenyataan Zahid semalam bahawa partinya tidak dapat menghalang ahli Parlimennya menyokong Anwar yang mendakwa mempunyai cukup sokongan untuk membentuk kerajaan baru.

Isham berkata, kalau pun benar dakwaan Anwar mempunyai sokongan majoriti wakil rakyat, namun ia tidak akan menyelesaikan masalah kerana ahli Parlimen yang sama yang menyokong presiden PKR itu boleh menarik balik sokongan dan kerajaan akan jatuh sekali lagi.

“Enam bulan lepas, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin juga mengumumkan yang beliau mempunyai cukup sokongan ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan, lalu kerajaan bertukar tangan.

“Jika Anwar Ibrahim berjaya mengumpul cukup ahli Parlimen kali ini, maka kerajaan akan jatuh dan bertukar lagi dan dia (Anwar) pula mahu jadi perdana menteri.

“Dan 6 bulan akan datang apabila seorang lagi pemimpin yang bercita-cita menjadi perdana menteri memujuk ahli Parlimen untuk berubah fikiran, maka kerajaan akan bertukar tangan sekali lagi tidak melalui pilihan raya.

“Mungkin selepas ini Shafie Apdal, Mukhriz Mahathir atau Dr Mahathir Mohamad sekali lagi tunggu giliran untuk jadi perdana menteri dengan cara ini,” katanya.

Saya akan tarik balik sokongan terhadap Muhyiddin, kata Nazri

Beliau berkata, pengumuman Anwar semalam adalah simptom yang menunjukkan kerajaan hari ini tidak stabil dan boleh jatuh pada bila-bila masa.

“Selagi ini berlaku, maka kerajaan mungkin akan bertukar tangan setiap 6 bulan dan ketidakstabilan politik akan berterusan.

“Sesiapa pun yang jadi kerajaan dalam situasi ini tidak akan dapat menumpukan perhatian kepada usaha pemulihan ekonomi dan akan memburukkan lagi keadaan hidup rakyat.

“Sebab itu dari dahulu saya mencadangkan supaya Parlimen dibubarkan untuk menyerahkan semula mandat kepada rakyat melalui pilihan raya supaya kerajaan baru yang lebih stabil dapat dibentuk,” katanya.

Beliau berkata, jika keputusan pilihan raya tetap sama, iaitu kedudukan 50-50, maka rakyat akan berpuas hati kerana mereka telah membuat pilihan.

Semalam Anwar mengumumkan mempunyai “sokongan dan majoriti kukuh dan meyakinkan” daripada ahli Parlimen bagi membentuk kerajaan baru.

Pengumuman Anwar itu bagaimanapun ditolak oleh pemimpin parti yang menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin oleh Muhyiddin, termasuk BN,PAS, PPBM, GPS, Star dan PBS.

Najib minta Anwar melantik Khalid Samad sebagai timbalannya

Leave a Reply