Agong tidak akan terima menghadap selama seminggu

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tidak akan menerima menghadap daripada sesiapun selama seminggu kerana sedang menjalani pemerhatian di sebuah hospital, kata seorang pegawai istana negara, ketika ketua pembangkang, Anwar Ibrahim ingin mendapat perkenaan untuk membentuk kerajaan baru.

Anwar minggu ini berkata dia telah memperoleh majoriti “kukuh dan menyakinkan” daripada anggota parlimen di Dewan Rakyat untuk menjatuhkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin. Tetapi dia harus meyakinkan Seri Paduka bahawa dia mempunyai jumlah sokongan yang mencukupi untuk membentuk kerajaan baru.

Pergolakan politik terbaru ini tercetus hanya tujuh bulan setelah satu lagi perebutan kuasa lain yang menyaksikan Muhyiddin menjadi perdana menteri dan berkemungkinan akan membantutkan usaha untuk menstabilkan ekonomi yang terjejas akibat wabak koronavirus.

Muhyiddin, yang mempunyai majoriti tipis di parlimen, menolak dakwaan yang Anwar mempunyai majoriti dan mencabarnya untuk membuktikan sokongannya melalui proses perlembagaan.

Yang di-Pertuan Agong berperanan dalam majlis adat istiadat di Malaysia tetapi baginda boleh melantik perdana menteri yang pada pandangannya cenderung mendapat sokongan majoriti di parlimen. Atas nasihat perdana menteri, Seri Paduka juga boleh membubarkan parlimen supaya pilihan raya dapat diadakan.

“Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong telah dinasihatkan oleh doktor-doktornya untuk menetap (di hospital) selama tujuh hari untuk pemerhatian.

“Sehingga itu, baginda tidak akan menerima menghadap daripada sesiapa,” kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Ahmad Fadil Shamsuddin kepada Reuters.

Anwar dijadualkan menghadap Al-Sultan Abdullah pada hari Selasa lalu tetapi majlis tersebut terpaksa dibatalkan susulan kegeringan Seri Paduka yang kemudiannya dirawat di Institut Jantung Negara.

Belum ada parti politik besar yang tampil menyokongnya, namun Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu tidak dapat menghalang mana-mana anggota parlimennya yang mengambil keputusan untuk menyokong Anwar untuk membentuk kerajaan baru. Reuters

Hanya Perdana Menteri layak menghadap Agong

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker