Pakar berbeza pendapat sama ada pilihan raya kilat mampu stabilkan ekonomi

Seorang ahli ekonomi dan ketua persatuan perniagaan berbeza pendapat sama ada pilihan raya mengejut mampu membantu menstabilkan ekonomi memandangkan pergolakan politik ketika ini memberi impak negatif ke atas ringgit dan pasaran saham.

Michael Kang, presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Malaysia, meminta pilihan raya mengejut diadakan untuk memastikan kestabilan ekonomi, tetapi Geoffrey Williams dari Universiti HELP berkata, pilihan raya tidak akan mengubah keadaan ekonomi kecuali dasar lebih baik dilaksanakan.

Sentimen pasaran lemah susulan pengumuman ketua pembangkang, Anwar Ibrahim mempunyai majoriti mencukupi untuk menubuhkan kerajaan baru menyaksikan ringgit jatuh ke paras terendah semalam dalam tempoh hampir 2 minggu.

Indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turut merosot 2% daripada 8.50 mata kepada 8.32 mata pada tengah hari, sejurus selepas sidang media presiden PKR itu.


Kang berkata, ahli politik perlu menyelesaikan ketidakstabilan politik di negara ini secepat mungkin supaya lebih banyak perhatian ditumpukan kepada pemulihan ekonomi.

“Dengan situasi (politik) seperti ini, banyak perkara yang tidak pasti. Cara terbaik ialah mengadakan pilihan raya kilat supaya sekurang-kurangnya mereka boleh mendapat mandat untuk membentuk kerajaan baru untuk memfokuskan pembangunan ekonomi.”

Beliau turut menyambut baik pakej rangsangan baru kerajaan, Kita Prihatin yang diumumkan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin semalam, yang termasuk Program Subsidi Upah 2.0 untuk membantu kumpulan B40 dan M40, pekerja serta perniagaan mikro.

Bagaimanapun, katanya, bentuk bantuan sedemikian perlu diteruskan tidak kira siapa yang berkuasa kerana lebih 50% PKS masih bergelut untuk pulih daripada impak Covid-19.

“Kami berharap mereka dapat meneruskan usaha ini, tidak kira kerajaan mana. Mereka perlu menjalankan tugas mereka untuk membantu PKS dan rakyat.”

Sementara itu, Williams berkata, turun naik dalam pasaran tidak menjadi masalah kerana ia sering berlaku.

“Selagi kerajaan mempunyai majoriti tipis, kebimbangan sentiasa wujud dalam pasaran kewangan setiap kali sesuatu muncul untuk mengancam mandat kerajaan.

“Pengumuman Anwar semalam ialah satu daripadanya.”


Katanya, dalam keadaan sekarang, peristiwa lain boleh membawa impak sama, contohnya berita buruk mengenai kes Covid-19 atau keputusan Pilihan Raya Negeri di Sabah pada Sabtu ini.

Sebaliknya, Williams berkata, masalah sebenar ialah impak buruk ke atas ekonomi akibat sekatan Covid-19, yang perlu disemak semula.

“Situasi politik itu penting, tetapi senario ekonomi tidak mungkin berubah kecuali siapa saja yang berkuasa mengubah pendekatan ‘lockdown’.

“Jika pilihan raya mengejut menampilkan dasar ekonomi berbeza nanti, mereka boleh menyelesaikan situasi itu. Tetapi, jika hasilnya ialah kerajaan berbeza dengan peraturan ‘lockdown’ sama, maka tiada apa yang berubah dari segi ekonomi.”

Mana mungkin Malaysia bebas impak ekonomi Covid-19, Najib beritahu Guan Eng

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker