Nilai purata eksport buah-buahan tropika Malaysia meningkat

SEREMBAN, Nilai purata eksport buah-buahan tropika Malaysia meningkat kepada RM1.124 bilion pada 2018 daripada RM821.5 juta pada 2015 dengan purata peningkatan sebanyak 12.29 peratus setahun.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata nilai import buah-buahan tropika turut meningkat sebanyak 9.95 peratus setahun, daripada kira-kira RM1.2 juta pada 2015 kepada RM1.5 juta pada 2018.

“Buah-buahan tropika Malaysia seperti durian, nangka, betik, tembikai, pisang, manggis dan rambutan mempunyai potensi yang sangat besar untuk eksport khususnya ke negara China, Taiwan, Korea, Singapura, Australia, Timur Tengah, Eropah dan Amerika Syarikat.

“Buah-buahan lain yang mempunyai potensi untuk dieksport ialah buah belimbing, cempedak, mangga, jambu batu, buah naga, ciku dan nanas.

“Permintaan yang tinggi terhadap buah-buahan tropika dari Malaysia ini disebabkan oleh pengaruh iklim dan tanah yang sangat sesuai untuk mengeluarkan buah-buahan dengan kualiti yang tinggi dan rasa lebih baik berbanding negara-negara ASEAN yang lain,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penutup pada program Suai Kenal Pengeluar dan Pengeksport Agromakanan (Tanaman) Jabatan Pertanian Tahun 2020 di sini.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Pertanian (Pembangunan Industri dan Pengembangan) Eliyas Saad.

Ahmad berkata anggaran purata nilai eksport pada tahun ini ialah RM1.417 bilion dan dijangka meningkat kepada RM2.52 bilion pada 2025 manakala nilai import dijangka berkurangan daripada RM1.904 bilion pada 2021 kepada RM1.633 bilion pada 2025.

“Peningkatan eksport dan pengurangan import ini akan memberi sumbangan kepada nilai dagangan negara sebanyak RM2.791 bilion pada 2025 dan dijangka meningkat sehingga 2030,” katanya.

Katanya Jabatan Pertanian akan memberi tumpuan kepada empat jenis buah-buahan utama pada tahun ini iaitu durian, nangka, betik dan tembikai untuk meningkatkan pengeluaran bagi memenuhi keperluan eksport.

“Statistik eksport buah-buahan tropika Malaysia menunjukkan buah durian mempunyai nilai yang tinggi dalam pasaran dunia berikutan terdapat trend peningkatan nilai eksport iaitu RM64.9 juta pada 2015 kepada RM118.2 juta pada 2018.

“Jangkaan pengeluaran durian premium dalam negara adalah sebanyak 348,170 tan metrik (mt) di tanah seluas 72,536 hektar pada tahun ini,” katanya.

Mengenai program itu, Ahmad berkata ia merupakan pendekatan terbaik dan menjadi tumpuan utama Jabatan Pertanian untuk mempercepatkan proses pembangunan industri agromakanan negara dalam rantaian nilai pengeluaran.

“Di peringkat pengeluaran, kerjasama rakan strategik Jabatan Pertanian memberi manfaat kepada kedua-dua pihak melibatkan petani dengan syarikat pertanian swasta.

“Ini akan meningkatkan produktiviti yang boleh menjamin pasaran serta pendapatan usahawan dan ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata di peringkat pemasaran, ia melibatkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), pemborong, pasar raya, peruncit, pengeksport dan pengimport.

Bagi menjayakan hasrat negara untuk menjadi sebuah negara pengeluar buah-buahan tropika yang terulung, katanya beliau berharap lebih banyak ladang kontrak dapat diwujudkan dengan tumpuan kepada tanaman durian, nangka, betik dan tembikai.

Program itu berlangsung selama tiga hari bermula semalam dan dihadiri seramai 150 peserta terdiri daripada petani, syarikat pengeksport, syarikat e-dagang dan pegawai Jabatan Pertanian negeri.

Sementara itu, Eliyas dalam ucapannya berkata program itu telah diadakan sebanyak tujuh kali bertujuan mewujudkan kerjasama ladang kontrak antara pengeluar utama iaitu syarikat swasta dengan penanam buah-buahan dan sayur-sayuran di seluruh negara.

“Sehingga kini, sebanyak 100 kontrak telah diwujudkan dengan nilai lebih RM10 juta,” katanya.

— BERNAMA

Lim Guan Eng buka mulut saja ekspot bulan Jun jatuh merudum.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker