Jangan pandang rendah kuasa netizen Malaysia!

Share

SEBAIK sahaja Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat pengumuman khas yang mendakwa pihaknya mempunyai majoriti untuk membentuk kerajaan baharu semalam, berita mengenai kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah sudah jatuh nombor dua walaupun hari mengundi tinggal dua hari lagi.

Bukan itu sahaja, berita mengenai dua pemimpin sebuah parti politik yang dilaporkan positif koronavirus (Covid-19) sewaktu berkempen di Sabah juga hampir sepi diperkatakan netizen.

Rata-rata komen netizen berhubung pengumuman itu meluahkan rasa kurang senang dan tidak kurang yang meraikan dengan kata-kata positif.

Menurut netizen, ketika negara sedang berdepan pandemik Covid-19 termasuk pengumuman pelbagai kluster baharu, masih terdapat ahli politik berebut kuasa.

“Ya ALLAH, lindungilah kami rakyat marhaen bumi Malaysia daripada mereka yang tamak kuasa.”

Sementara itu, Nato LD menulis: “Bolehkah serahkan balik kuasa kepada rakyat agar tidak timbul tebuk atap tebuk bawah dan sebagainya.”

Sebaliknya, menurut Fauzi Abdullah: “Zaman sekarang siapa peduli sokongan rakyat, yang penting MP sokong, apa pun boleh.”

Merak Jalanan tidak menyalahkan netizen jika mereka meluahkan komen-komen jelik di media sosial. Manakan tidak, sebaik sahaja kerajaan baharu dibentuk selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), rakyat Malaysia hanya berasa tenang dan lega beberapa ketika.

Kerajaan yang menjadi sandaran sebahagian besar pengundi mengharapkan perubahan, namun pimpinan dalam parti komponen pemerintah mula goyah. Bermula dengan kenyataan-kenyataan yang mengguris hati sehinggalah kerajaan bertukar tangan.

Merak Jalanan bukan apa, diharap apa pun perubahan yang berlaku atau bakal berlaku, jangan sampai rakyat meluat. Jangan pandang rendah kuasa Jabatan Netizen Malaysia!

Anwar umum bentuk kerajaan, Ringgit terus menjunam

Leave a Reply