Ibu, teman lelaki ke tali gantung bunuh anak 5 tahun

Share

Seorang wanita dan teman lelakinya dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi hari ini selepas didapati bersalah membunuh anaknya yang berusia 5 tahun dan membuang mayat mangsa di ladang kelapa sawit di Bukit Mertajam.

Gayathry Thansamy, 36, dan Saravanan Kumar Rajan, 30, dijatuhi hukuman itu kerana membunuh Kaviarasan Sanjay.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Taman Keladi, Kulim, antara 20 dan 27 September 2014, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Doktor menyatakan Kaviarasan meninggal dunia akibat hentakan objek tumpul di kepala.

Pada mulanya Gayathry membuat laporan mendakwa Kaviarasan hilang dari perkarangan Esplanade di George Town pada 20 September 2014.

Begaimanapun, selepas disoal siasat oleh polis, wanita itu mengaku kanak-kanak berkenaan dipukul, dalam keadaan panik, dia dan Saravanan membuang mayat mangsga di ladang kelapa sawit di Bukit Mertajam.

Ketika perbicaraan, Gayathry menyalahkan Saravanan kerana memukul Kaviarasan sehingga mati menggunakan kaki kerusi.

Saravanan, dalam pembelaannya, menyatakan dia tidak bersama Gayathry ketika kejadian pada 20 September 2014, kerana bekerja syif malam sebagai pengawal keselamatan. Katanya, keesokan hari dia ke Klang untuk menziarah ibu bapanya.

Ketika menyampaikan keputusannya, Pesuruhjaya Kehakiman Ahmad Shahrir Mohd Salleh berkata, pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Katanya, ketika Gayathry membuat laporan polis mendakwa anaknya hilang, dia boleh memberitahu polis teman lelakinya yang memukul kanak-kanak lelaki itu, namun tidak berbuat demikian.

Shahrir berkata, wanita itu mendakwa Saravanan sedang menunggu dalam kereta ketika dia membuat laporan, tetapi tidak melakukan sebarang usaha untuk memberitahu polis mengenai kesalahannya.

Katanya, berdasarkan pengakuan Gayathry dia tidak menghalang Saravanan memukul Kaviarasan.

Shahrir juga berkata, dakwaan Saravanan yang dia tidak berada ketika kejadian tidak dapat diterima, kerana tertuduh gagal memberi notis mengenai alibinya bawah Kanun Prosedur Jenayah.

Dalam rayuannya peguam Gayathry, Gabriel Susayan, berkata anak guamnya adalah mangsa keganasan rumah tangga dan menderita.

Katanya, Gayathry menyesal kerana tidak melakukan apa-apa untuk menyelamatkan anaknya.

Peguam Saravanan, V Parthipan, meminta mahkamah mempertimbangkan rayuan anak guamnya, dengan menyatakan dia hanya pemandu lori kemudian menjadi pengawal keselamatan dan kesalahan itu adalah kali pertama dilakukan.

Timbalan pendakwa raya Yasinnisa Begam Seeni Mohideen berkata, memukul anak kecil hingga mati adalah kesalahan serius dan menunjukkan betapa tidak berperikemanusiaan kedua-dua tertuduh kerana membiarkan mayat mangsa dalam hutan.

Kedua-dua peguam akan mengemukaan rayuan terhadap keputusan itu.

Gayathry dan Saravanan menjalani reman selama 6 tahun sejak mereka didakwa pada 2014.FMT

Guru agama dipenjara 24 tahun, 6 sebatan kerana seks oral dengan murid

Leave a Reply