Awie, Search bakal gegar Stadium Melawati

Konsert Cinta Buatan Malaysia menggabungkan Datuk Awie dan Search merancang memancarkan konsert dalam talian buat peminat yang tidak dapat hadir ke Stadium Melawati, Shah Alam pada 12 Disember depan.

Wakil penganjur Imaginex, Amir Shah Daud berkata, ia selaras dengan amalan norma baharu berikutan pandemik COVID-19.

“Kami merancang menyiarkan konsert ini dalam talian. Bagaimanapun, kami belum menetapkan harga tiket yang akan dijual. Kami akan umumkan perkara ini dan berjanji menawarkan harga yang mampu dibeli.

“Ini bagi memberi peluang peminat Search dan Awie dari Singapura, Brunei Darussalam, Indonesia dan seluruh dunia yang tidak dapat hadir boleh menonton persembahan mereka,” katanya kepada BH Online.

Terdahulu, konsert yang awalnya diberi nama Konsert Apologia Search dan Awie yang sepatutnya berlangsung pada 28 Mac lalu ditunda ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu.

Lokasinya diubah daripada The Bee ke tempat lebih besar iaitu Stadium Melawati, Shah Alam.

Wakil penganjur HS Shazlicious, Mubarak Akhtar berkata, pertukaran lokasi bagi memberi kesempatan kepada lebih ramai peminat hadir menyaksikan gabungan dua gergasi rock ini.

“Sebelum ini, kapasiti hanya 700 penonton dan penjualan tiketnya sangat memberangsangkan di lokasi sebelum ini. Hanya berbaki suku daripada keseluruhan tiket. Paling laris tiket VIP.

“Disebabkan itu, kami tukar lokasi dan memilih Stadium Melawati. Setakat ini, kerajaan membenarkan kemasukan satu pertiga daripada kapasiti asal, kira-kira 2,000 hingga 3,000 penonton.

“Bagaimanapun, diharapkan dengan pengurangan kes, mungkin jumlahnya boleh ditambah kemudian,” katanya.

Sementara itu, pemain bass kumpulan Search, Nasir Daud berkata, judul konsert seperti meraikan album pertama berjudul Cinta Buatan Malaysia.

“Kami mahu mengenang album pertama memandangkan meraikan ulang tahun genap 40 tahun Search yang ditubuhkan pada 1981, tahun depan. Kami mahu mengimbas semula perjalanan awal Search dari dahulu sampai sekarang.

“Biarpun album ini dikeluarkan pada 1985, tetapi ini adalah album yang membawa lagu popular seperti Kejora, Cinta Sepi serta Isi dan Kulit. Insya-Allah, peminat akan dihiburkan dengan rangkaian lagu popular selama lebih kurang dua jam,” katanya.

Selain Nasir, Search turut dianggotai oleh Din (gitar) dan adiknya, Kid (gitar kedua), manakala Pae bertindak sebagai pemain drum undangan.

Pada konsert itu, mereka juga akan mengadakan segmen khas sebagai penghargaan kepada bekas pemain dram Search, Allahyarham Yazit Ahmad yang meninggal dunia pada 26 September, tahun lalu.

Tiket konsert berkenaan dijual daripada harga RM99 hingga RM1000. Peminat yang sudah membeli tiket sebelum ini boleh menggunakannya untuk Konsert Cinta Buatan Malaysia pada 12 Disember depan..

Untuk sebarang maklumat lanjut boleh layari www.ilassotickets.com atau menghubungi 03-21706333. BH

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker