UOB Kepong tutup sementara, pekerja sah positif Covid-19

Share

United Overseas Bank (Malaysia) Bhd (UOB Malaysia) menutup cawangannya di Kepong hingga 5 Oktober ini selepas seorang kakitangannya disahkan positif Covid-19.

Penutupan itu termasuk bagi akses mesin perkhidmatan perbankan layan diri.

UOB Malaysia dalam kenyataannya hari ini berkata, penutupan itu bagi membolehkan kerja pembersihan dan nyah kuman dijalankan dan akan dibuka semula selepas mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa kesihatan.

Katanya, kakitangan itu seorang pakar gadai janji didapati mengunjungi Lahad Datu dan Semporna, Sabah, antara 10 hingga 13 September lalu.

“Kami telah memulakan usaha pengesanan kontak di mana semua kakitangan dan pelanggan yang berhubung rapat dengan kakitangan tersebut akan dihubungi.

“Mereka akan diminta menjalani kuarantin diri selama 14 hari sementara memantau kesihatan mereka dan menunggu arahan selanjutnya. Kami sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa kesihatan mengenai langkah susulan perlu diambil,” katanya.

UOB Malaysia juga memberi jaminan kepada pelanggan dan kakitangannya bahawa pihaknya sudah mengambil langkah disyorkan kerajaan bagi memastikan keselamatan orang ramai.

“Kami menggalakkan pelanggan terus menggunakan perkhidmatan perbankan digital kami, termasuk perbankan internet peribadi UOB, perbankan internet peribadi plus UOB dan aplikasi mudah alih “UOB Mighty”.

“Bagi pelanggan yang perlu menggunakan perkhidmatan di cawangan, sila berkunjung ke cawangan (berhampiran) di Damansara Uptown dan Kota Damansara atau cawangan lain,” katanya. FMT

Leave a Reply