PAS teguh sokong PN, kalau jatuh itu cerita lain – Naib Presiden PAS

PAS sekali lagi memberikan penegasan bahawa semua 18 anggota parlimennya kekal menjadi penyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan kekal bersama Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Naib Presiden PAS, Nik Amar Abdullah, berkata setakat ini sikap itu adalah pendirian rasmi parti berkenaan.

Bagaimanapun kata Mohd Amar, berlainan halnya jika benar kerajaan PN jatuh selepas tidak lagi mendapat sokongan majoriti anggota Dewan Rakyat.

“Kita kekal bersama Tan Sri Muhyiddin… 18 orang ahli parlimen kita.

“Setakat ini pendirian PAS, kita mendukung PN dan bersama Muafakat Nasional (MN),” katanya.

Namun ditanya jika benar PN tumbang seperti didakwa Presiden PKR, Anwar Ibrahim, Mohd Amar menjawab: “Itu cerita lain, kita tengoklah. Pendirian kita setakat ini macam tu.”

Timbalan menteri besar Kelantan itu berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan pembukaan Koperasi Sindiyan Berhad di Kota Bharu, hari ini.

Terdahulu Mohd Amar diminta mengulas kenyataan Anwar yang mendakwa mempunyai majoriti kukuh dalam kalangan ahli parlimen untuk membentuk kerajaan baru.

Bukan kali pertama Anwar dakwa dia ada majoriti – Mahathir

Persoalan dilihat orang politik

Susulan pengumuman Anwar itu, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi memberikan isyarat bahawa memang ramai anggota parlimen Umno menyatakan sokongan kepada ahli parlimen Port Dickson berkenaan.

“Umno dan BN tidak dapat menghalang ahli-ahli parlimen yang mengambil keputusan untuk menyokong YB Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berhasrat untuk mengadap KDYMM Yang di-Pertuan Agong bagi menyatakan hasrat beliau sebagaimana dimaklumi.

“Saya dimaklumkan ramai ahli-ahli parlimen Umno dan BN yang telah menyatakan sokongan.

Sementara itu diminta mengulas kenyataan Ahmad Zahid, Mohd Amar berkata, PAS tidak mengetahui lebih lanjut mengenai pendirian rakan mereka dalam MN itu.

“Kalau betul ada (MP Umno) buatlah, macam saya kata, sebab parti dia saya tak tahu. Kalau nak tafsir (dakwaan Anwar) boleh tafsir macam-macam tanggapan, tapi kita tak mahulah.

“Tapi kalau dia ada (majoriti), dia boleh kemukakan,” katanya.

Mohd Amar juga menjelaskan sidang media Anwar tengah hari menimbulkan persoalan apabila tiada mana-mana pemimpin DAP atau Amanah – yang bergabung dalam Pakatan Harapan (PH) – hadir.

“Sepatutnya kena ada sekali sebab mereka PH. Kerajaan dia nak tubuh pun kerajaan PH.

“Kemudian kalau dengar respon DAP dan Amanah pun mereka macam terkejut. Itu antara persoalan yang kita orang politik lihat,” jelasnya.

Zahid : Ahli Parlimen Umno bebas menyokong sesiapa pun

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker