Bukan kali pertama Anwar dakwa dia ada majoriti – Mahathir

Share

Dr Mahathir Mohamad dilihat tidak yakin dengan kenyataan Presiden PKR Anwar Ibrahim yang mendakwa memiliki sokongan cukup dari anggota parlimen untuk membentuk kerajaan baru.

Bercakap menerusi Zoom di Nutanix’s Asean CIO Virtual Summit, Mahathir mengatakan bahawa Anwar juga pernah membuat dakwaan sama pada 2008 namun tidak menjadi kenyataan.

“Kita harus tunggu untuk lihat apakah ini satu lagi episod membuat tuntutan yang tidak dapat dibuktikan,” katanya seperti dipetik portal The Edge Singapura.

Mahathir ditanya mengenai perkara tersebut selepas Anwar membuat sidang media berkenaan dakwaan itu di Hotel Le Meridien di Kuala Lumpur.

Pada sidang media sebentar tadi, Anwar mendakwa dia sudah memiliki sokongan majoriti yang kukuh dan meyakinkan namun enggan mendedahkan jumlah anggota parlimen yang memihak kepadanya.

Anggota Parlimen Port Dickson itu berkata bahawa lebih wajar jika dia menyerahkan jumlah sokongan wakil rakyat itu kepada Yang di-Pertuan Agong terlebih dahulu.

“Jumlahnya (sokongan) kukuh dan menyakinkan, jauh daripada majoriti kecil, bukan, empat, lima atau enam (kerusi) tetapi majoriti,” katanya.

Selain itu, Anwar juga berkata bilangan majoriti yang diraihnya itu tidak termasuk Mahathir dan ahli parlimen dari parti baru bekas perdana menteri itu, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Pemimpin Perikatan Nasional (PN) pula menfaikan dakwaan Anwar, namun Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan bahawa terdapat beberapa anggota parlimen dari partinya yang memihak kepada pemimpin PKR itu.

Dalam perkembangan sama, Amanah dan DAP berkata pihaknya akan menyokong Anwar jika dia boleh membentuk kerajaan baru.

Anwar ada majoriti? Saya tak tahu apa-apa – Abang Mat

Leave a Reply