Tangisan budak perempuan bongkar perbuatan terkutuk anak jiran

DUNGUN – Tangisan berlarutan seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun di hadapan ayahnya membongkar perbuatan terkutuk seorang remaja lelaki Khamis lalu.

Kanak-kanak malang itu menangis teresak-esak selepas pulang dari rumah jirannya yang hanya terletak di belakang rumah mereka di Kampung Alor Tembesu di sini kira-kira jam 12.30 tengah hari.

Sumber berkata, terkejut melihat keadaan anaknya yang menangis seperti kesakitan itu, lelaki berusia 30-an tersebut cuba memujuk dan bertanya mengapa dia menangis.

Menurut sumber, dalam nada masih teresak-esak, mangsa memberitahu yang dia sakit di kemaluannya kerana suspek yang dipanggil ‘abang’ ada memasukkan sesuatu ke dalamnya.

“Mangsa memberitahu ayahnya yang semasa sampai di rumah tersebut, suspek berusia 18 tahun ada memanggilnya dan mengajak untuk masuk ke dalam bilik tidur.

“Semasa itu mereka berdua sahaja berada di dalam bilik, lalu suspek dikatakan terus menutup mukanya dengan tuala sebelum mulutnya disumbat dengan sesuatu.

“Ketika itu juga, mangsa memberitahu yang dia ada rasa sakit di kemaluannya dan tidak tahu apa yang dibuat oleh suspek kerana matanya ditutup,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Katanya, disebabkan terlalu sakit, mangsa menangis tidak berhenti sebelum disuruh suspek agar pulang ke rumahnya segera.

“Bapa mangsa yang sangat terkejut mendengar penjelasan kanak-kanak itu terus menghubungi isterinya yang sedang bekerja mengarahkan balik segera.

“Sejurus dimaklumkan suaminya, wanita itu segera ke rumah suspek lalu bertanyakan adakah betul apa yang diberitahu anaknya sebelum suspek tanpa rasa bersalah mengaku dia memang ada melakukan semua itu.

“Tidak berpuas hati, pada keesokan harinya, pasangan suami isteri itu terus membawa anak mereka ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu bagi mendapatkan pemeriksaan sebelum membuat laporan polis,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian yang dibuat bapa mangsa.

Menurutnya, mangsa masih berada di HSNZ bagi mendapatkan pemeriksaan selanjutnya. Sinar

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker