Simpanan tidak dibekukan

AMANAH Raya Berhad (AmanahRaya) menafikan kenyataan yang tular berkaitan penamaan wang caruman ahli bagi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tanpa penama atau penama individu yang meninggal terdahulu daripada si mati akan disalurkan secara automatik kepada AmanahRaya.

Pengarah Urusan Kumpulan AmanahRaya, Adenan Md Yusof berkata, sebagai salah sebuah agensi milik penuh kerajaan, AmanahRaya komited dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

“AmanahRaya ingin menjelaskan kenyataan yang tular itu tidak benar sama sekali dan mengelirukan.

“Tidak benar wang caruman KWSP akan dibekukan di AmanahRaya kerana sebagai pentadbir, AmanahRaya akan membahagikan harta si mati kepada waris yang berhak secepat mungkin,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, semalam.

Tegas beliau, caruman KWSP hanya akan diserahkan kepada AmanahRaya sekiranya dilantik sebagai pentadbir kepada pusaka ahli KWSP yang meninggal dunia atau sebagai pemegang amanah bagi bahagian waris bawah umur atau orang kurang upaya (OKU) kerana mereka tidak mempunyai kapasiti undang-undang untuk menerima wang simpanan KWSP berkenaan.

AmanahRaya juga menegaskan sepanjang tempoh sebarang harta ditadbirkan, waris yang sah atau penjaga kepada waris bawah umur atau OKU boleh membuat pengeluaran dari masa ke masa bagi tujuan sara hidup, persekolahan, perayaan dan keperluan khusus. Kebajikan waris adalah terpelihara dan menjadi keutamaan AmanahRaya.

AmanahRaya boleh dilantik sebagai pentadbir atau pemegang amanah oleh mahkamah atau Pejabat Pusaka Kecil atau diuruskan secara terus oleh AmanahRaya di bawah Akta Perbadanan Amanah Raya 1995.

Semua pusaka yang ditadbir AmanahRaya akan dibahagikan kepada waris yang sah mengikut peruntukan undang-undang yang terpakai.

Kerjasama AmanahRaya dan KWSP yang berkuat kuasa sejak 1 Januari 2018 ini memberi pilihan kepada pencarum KWSP untuk melantik AmanahRaya sebagai penama atau pemegang Amanah kepada wang caruman KWSP mereka bagi memudahkan pengagihan simpanan kepada waris apabila ahli meninggal dunia kelak.

Pencarum KWSP boleh mendapatkan maklumat mengenai perkara ini melalui laman web AmanahRaya di www.amanahraya.my.

AmanahRaya adalah syarikat milik penuh kerajaan yang dahulunya dikenali sebagai Jabatan Pemegang Amanah Raya dan Pegawai Pentadbir Pusaka yang ditubuhkan sejak 1921 dan syarikat Pemegang Amanah utama di Malaysia yang dikorporatkan pada 1995.-HM

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker