Prn Sabah : Tingkatkan Keselamatan Jika Khabar Angin Betul

Pasukan keselamatan diminta mempertingkatkan lagi kawalan ketat di sempadan negara ini, khasnya Sabah susulan khabar angin bakal berlaku kemasukan besar-besaran rakyat negara jiran untuk membuat kekacauan pada Pilihanranya Negeri (PRN) Sabah.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, pintu sempadan negara perlu dikawal lebih ketat bagi mengelak sebarang insiden tidak diingini.

“Jika benar rumors (khabar angin) ini, saya meminta pihak keselamatan jangan bertolak ansur. Kalau ada kejadian begini, bermakna sempadan kita kena (perlu) dikawal dengan seberapa ketat yang boleh.

“PRN ini penting untuk menentukan masa depan negeri kita dan kita faham kerajaan Filipina masih lagi dengan sentiment mahu menuntut Sabah walaupun hakikatnya Sabah ini milik Malaysia,” katanya kepada media.

Beliau ditemui pada Majlis Ramah Mesra bersama beliau di Command Centre Zon 6 (Bandar Sri Indah).

Hadir sama, tiga calon BN Parlimen Tawau dan Kalabakan – Hamild Awang (N.67 Balung), Chaya Sulaiman (N.70 Kukusan) dan Andi Muhammad Suryady Bandy (N.71 Tanjung Batu)

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali dalam sidang medianya di Kota Kinabalu memberitahu polis menerima maklumat kemasukan besar-besaran rakyat negara jikan untuk membuat kekacauan pada hari pengundian 26 September depan.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan sumber risikan dan jumlah yang dijangka terlibat serta jenis kekacauan yang bakal ditimbulkan.

Terdahulu, Bung Moktar menasihatkan jentera UMNO agar sentiasa berhati-hati dan mengamalkan Standard Operasi Prosedur (SOP) dalam kesibukan berkempen, termasuk tidak membawa rombongan terlalu ramai ketika melakukan kempen dari rumah ke rumah ataupun walkabout.

Perkara itu, katanya, susulan peningkatan kes positif Covid-19 di daerah Tawau sehingga menimbulkan kebimbangan awam, termasuk kalangan jentera kempen dan pengundi-pengundi.

“Sebab itu saya tidak jumpa pengundi-pengundi secara terbuka tetapi saya jumpa jentera tiga DUN – Dewan Undangan Negeri ini untuk memastikan mereka menggerakkan jentera dan meneruskan kempen tetapi haruslah sentiasa mengutamakan keselamatan.

“Elakkan berjabat tangan kerana pegangan (sentuhan) ini juga antara punca virus berjangkit memandangkan timbul kluster-kluster baharu yang belum lagi diketahui (asalnya),” katanya lagi.

Berkenaan laporan seorang Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO positif Covid-19 selepas berkempen di Sipitang, Bung Moktar menyatakan beliau sudah menerima berita tersebut tetapi belum ada pengesahan.

“Dia cuma disyaki belum lagi positif tetapi sudah (sedang) dikuarantin selama 14 hari,” katanya. BN

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker