YDPA Al-Sultan Abdullah Sedang Jalani Rawatan Di IJN

Share

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sedang menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) sejak semalam.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin bagaimanapun memaklumkan keadaan kesihatan Al-Sultan Abdullah adalah tidak membimbangkan dan Seri Paduka dijangka dibenarkan keluar dari IJN dalam waktu terdekat.

“Al-Sultan Abdullah dimasukkan ke Wad Diraja IJN semalam, selepas Seri Paduka mengadu kurang selesa dengan kesihatan.

“Al-Sultan Abdullah telah dinasihatkan supaya diawasi oleh doktor ketika ini dan Seri Paduka tidak dalam keadaan yang membimbangkan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Ahmad Fadil berkata Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang tiba di Kota Bharu, Kelantan semalam dalam rangka lawatan peribadi telah bergegas pulang hari ini, untuk bersama dengan Al-Sultan Abdullah.

Beliau menjelaskan, Tunku Azizah telah membatalkan lawatan tersebut yang dijadualkan berlangsung selama tiga hari sehingga esok.

Seluruh rakyat diseru untuk mendoakan semoga Al-Sultan Abdullah dikurniakan kesembuhan dengan segera serta dikurniakan kesihatan yang berpanjangan, katanya. – BERNAMA

Leave a Reply