KJ: Shafie sokong Dr M yang enggan beri Sabah cukai hasil petroleum

Khairy Jamaluddin berkata Presiden Warisan Shafie Apdal memilih untuk menyokong Dr Mahathir Mohamad walaupun bekas perdana menteri itu enggan memberikan cukai jualan daripada Petronas kepada Sabah sepanjang mentadbir negara.

“Ketika Muhyiddin Yassin menjadi perdana menteri, Shafie perlu pilih sama ada untuk sokong Mahathir atau Muhyiddin.

“Dia pilih untuk sokong Mahathir, yang enggan memberikan cukai jualan petroleum kepada penduduk Sabah dan Sarawak,” katanya dalam ceramah di DUN Tempasuk di Kota Belud, hari ini.

Khairy berkata, Mahathir menjadi perdana menteri hampir dua tahun ketika pentadbiran PH tetapi enggan memberikan cukai jualan petroleum oleh Petronas kepada Sabah dan Sarawak.



Dalam masa enam bulan Muhyiddin mengambil alih jawatan itu, katanya lagi, kerajaan Sarawak telah mendapat cukai jualan hampir RM3 bilion daripada Petronas.

“Inilah yang telah dilakukan Muhyiddin dan dia kata selepas pilihan raya Sabah, dia akan minta Petronas turut bayar cukai jualan kepada orang Sabah,” katanya lagi.

Dia juga mengingatkan bahawa ketika pentadbiran Mahathir, Sabah dan Sarawak tidak mendapat banyak pembangunan.

Katanya lagi, kerajaan Sarawak yang bertegas dengan kerajaan persekutuan agar Petronas membayar cukai jualan terus kepada mereka.



“Kerajaan Warisan lemah dan hanya mengikut,” katanya lagi.

Sebelum ini, susulan perolehan cukai jualan petroleum kepada kerajaan Sarawak pada 17 September, Shafie berkata dia akan menjamin Petronas turut membayar cukai jualan kepada Sabah jika Warisan kekal sebagai kerajaan negeri. Mk

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker