Keselamatan, Kedaulatan Negeri Sabah Tak Boleh Dirunding – Bung Moktar

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menegaskan bahawa isu keselamatan dan kedaulatan negeri Sabah tidak boleh dirunding dengan mana-mana pihak.

Katanya, Sabah adalah negeri yang merdeka di bawah Malaysia dan tidak boleh dituntut oleh sesiapa.

“Satu lagi perkara yang Warisan buat iaitu mengelirukan rakyat dengan meminta kerajaan Persekutuan untuk berunding dengan kerajaan Filipina sebab kerajaan Filipina sedang menuntut Sabah dan meletakkan peta Negeri Sabah ke dalam pasport kewarganegaraan Filipina.

“Shafie (Apdal) ini mesra Filipina… saya tidak tahu kenapa dia begini…. mana boleh berunding soal keselamatan, soal kedaulatan negara. Negeri Sabah ini tidak boleh dirunding… sebab itu saya bantah dan kita memberi jaminan dalam Aku Janji bahawa kerajaan baharu ini tidak akan mengiktiraf mana-mana pihak untuk menuntut Negeri Sabah.

“Kita tidak akan biarkan satu inci bumi Sabah pun dimiliki oleh negara luar dan kita tidak akan meminta kerajaan berunding dengan Filipina. Tidak ada runding-runding… ini negeri kita yang merdeka di bawah Malaysia,” ujarnya yang juga Pengerusi UMNO Sabah.

Sebab itulah katanya, kerajaan Persekutuan mewujudkan satu pusat keselamatan dengan harga RM590 juta bagi memastikan keselamatan di Lahad Datu dan pantai timur Tawau terjamin.

“Kita tidak mahu peristiwa Tandao berlaku lagi. Ini komitmen kerajaan Persekutuan untuk memastikan keselamatan sebab keselamatan adalah penting dan perkara utama.”

Jelasnya, kerajaan tidak akan stabil dan ekonomi juga tidak akan stabil selain keharmonian juga akan tercalar jika keselamatan tidak terjamin.

“Jadi kita bersyukur sebab kerajaan Persekutuan masih tetap melindungi rakyat Malaysia yang berada di Sabah biarpun kerajaan Warisan sebelum ini memencilkan diri dari Kerajaan Persekutuan,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian dalam ceramah dan majlis perjumpaan bersama jentera dan calon-calon BN iaitu calon DUN Balung, Hamild @ Hamid Awang; calon DUN Tanjung Batu, Andi Muhammad Suryadi Bandi dan calon DUN Kukusan, Chaya Sulaiman yang berlangsung di Pusat Operasi BN Tawau, malam tadi.

Turut hadir bersama dalam program tersebut ialah Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin; Ketua UMNO Bahagian Tawau, Ghazali Ansing serta barisan kepimpinan Bahagian Tawau dan Kalabakan di samping jentera-jentera parti di kawasan terbabit.

Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan turut bertanding di DUN baharu iaitu Lamag dengan berentap dalam lima penjuru.

Beliau ditentang oleh Ismail Haji Ayob dari Parti Warisan Sabah (WARISAN), Razman Magah (Parti Cinta Sabah), Junny @ Keruak Abdullah (Bebas) dan Mohd Al Ruzaini @ Sairin Abdul Rahman (Parti Perpaduan Rakyat Sabah).

Dalam PRN Sabah ke-16 ini, sebanyak 74 kerusi DUN dipertandingkan selepas DUN Sabah dibubarkan, 30 Julai lalu. – UMNO Online

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker