Kejadian terbaharu Proton Saga remuk di Cheras tiada kaitan projek SUKE

Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) menafikan dakwaan konon berlaku kejadian ke-2 kenderaan dihempap objek di tapak projek pembinaan Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) seperti yang tular malam tadi.

Dalam kenyataan Prolintas menjelaskan, kejadian berlaku di Taman Bukit Cheras membabitkan sebuah Proton Saga adalah kes kemalangan diklasifikasikan langgar lari dan ia tiada kaitan dengan pembinaan projek SUKE.

“Kemalangan jalan raya yang melibatkan sebuah kereta Proton Saga di Taman Bukit Cheras tiada kaitan dengan pembinaan projek lebuhraya SUKE. Ia merupakan kemalangan jalan raya yang kini dalam siasatan polis dan sehingga kenyataan ini dikeluarkan, insiden ini diklasifikasikan sebagai kejadian langgar lari.

“Prolintas memohon kepada warga internet untuk menghentikan penyebaran maklumat tidak benar yang mengaitkan insiden ini dengan projek SUKE dan menunggu kenyataan rasmi pihak berkuasa sebelum membuat komen, berkongsi dan membuat kenyataan di laman media sosial,” katanya.



Sementara itu, salah seorang kakitangan Prolintas memaklumkan kepada FMT berdasarkan maklumat awal diterima, kemalangan mungkin berpunca daripada kenderaan mangsa dilanggar sebuah “mobile kren” yang secara kebetulan melalui jalan sama.

“Kemungkinan kenderaan itu dilanggar sebuah kren yang berada di belakang mangsa dan bumbung kereta itu remuk akibat terkena cangkuk kren memandangkan tiada bahan bukti lain di atas kenderaan mangsa melibatkan bahan binaan.

“Semasa kejadian hujan lebat, mangsa yang tersepit tidak dapat melihat apa yang berlaku, dan kren yang melanggar kenderaan mangsa melarikan diri. Mangsa kemudian dikeluarkan oleh bomba,” katanya memaklumkan pihaknya menunggu maklumat rasmi daripada polis.

Terdahulu, tular di media sosial konon sebuah kenderaan dihempap besi ketika melalui tapak pembinaan SUKE, seperti mana kejadian sehari sebelumnya seorang wanita nyaris maut selepas kepingan konkrit terjatuh menghempap kereta Proton Saga dipandunya di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2). FMT



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker