Cucu bunuh nenek

Kuching: Wanita warga emas ditemui meninggal dunia disyaki dibunuh cucu lelakinya sendiri di Kampung Rampangi di sini, pagi hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching Superintendan Merbin Lisa berkata, kejadian dilaporkan berlaku pada 6.40 pagi selepas disedari seorang anak saudara mangsa yang pergi ke rumahnya untuk menziarahinya.

Menurutnya, mangsa berusia 66 tahun ditemui terbaring di ruang tamu rumahnya dalam keadaan muka berlumuran darah.

“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Umum Sarawak (HUS) dipercayai akibat ditikam beberapa kali di bahagian muka dengan menggunakan senjata tajam,” katanya yang dihubungi hari ini.

Merbin berkata, berdasarkan siasatan awal, suspek berusia 27 tahun dipercayai bertengkar dengan mangsa pada malam sebelum kejadian kerana tidak diberi wang.

Katanya selepas membunuh mangsa, suspek melarikan diri dan bersembunyi di sebuah rumah kosong berdekatan tempat kejadian sebelum ditangkap orang awam.

Beliau berkata, suspek kemudiannya diserahkan kepada polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching pada 7.40 pagi dan ditahan untuk tindakan siasatan lanjut.

Merbin berkata, ketika ditahan, suspek masih dalam keadaan khayal dan ujian saringan awal air kencing terhadapnya disahkan positif dadah methamphetamine.

“Semakan rekod lampau mendapati suspek pernah ditahan sebanyak dua kali pada 2019 atas kesalahan jenayah berkaitan dadah,” katanya.

Merbin berkata, pemeriksaan di tempat kejadian turut menjumpai sebilah pisau yang dipercayai digunakan oleh suspek untuk menikam mangsa.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke HUS untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. HM

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker