COVID-19: OECD anjur tiga saranan untuk pastikan ekonomi dunia dipertahan ketika pandemik

PERTUBUHAN untuk Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) menjangkakan ekonomi dunia memerlukan sekurang-kurangnya dua tahun untuk pulih seperti sedia kala.

Data menunjukkan ekonomi maju menguncup 9.8 peratus dari April ke Jun tahun ini yang merupakan satu penguncupan besar.
Jika dibandingkan ketika krisis ekonomi 2008/09, ekonomi maju hanya menguncup 2.3 peratus.

Susulan itu, Setiausaha Agung OECD Angel Gurria tampil memberikan tiga nasihat kepada kerajaan-kerajaan di seluruh dunia demi memastikan ekonomi dapat terus dipertahankan sepanjang dunia mengharungi pendemik COVID-19.

1. Terus memberi bantuan semampu mungkin
Jelas Gurria, antara kesalahan besar yang dilakukan negara-negara semasa krisis ekonomi 2008/09 ialah dengan mengehadkan tempoh rangsangan ekonomi dan terlalu cepat melaksanakan pelan penjimatan.



“Ini mengakibatkan kelembapan ekonomi dunia bertambah berpanjangan.
Untuk itu, menurut beliau, kerajaan harus bersedia untuk terus memberikan bantuan kepada golongan yang memerlukan.
Katanya lagi, apa yang harus lakukan kini ialah memberi tumpuan untuk melawan dan mengawal pandemik secara habis-habisan.

“Malangnya ia tidak dilakukan ketika ini,” jelasnya.

2. Bantu rakyat mencari pekerjaan
“Semasa krisis 2008/09 pekerja separa mahir merupakan yang paling terjejas berbanding pekerja berkemahiran rendah,” jelasnya.

Tetapi kini golongan pekerja yang paling teruk terjejas ialah yang berkemahiran rendah dan masalah ini menjadi serius apabila mereka juga sukar untuk mempelajari kemahiran baharu.



Gurria juga berpendapat usaha peningkatan kemahiran kini menjadi lebih penting berbanding semasa krisis ekonomi sebelum ini.

3. Jadikan rantaian bekalan lebih fleksibel

Gurria juga mengingatkan negara-negara agar tidak memutuskan rantain bekalan sebaliknya pelbagaikannya untuk meningkatkan kecekapan.

“Kita sudahpun berdepan masalah rantaian bekalan sebelum COVID-19 yang disebabkan oleh tekanan perdagangan bukan sahaja antara Amerika Syarikat dan China tetapi juga tekanan perdagangan yang disebabkan oleh isu cukai digital dan sebagainya.
“Malangnya keadaan ini menjadi sukar dengan COVID-19.”



OECD meramalkan ekonomi dunia menguncup pada kadar 6 peratus tahun ini, tetapi kejatuhan ekonomi dunia dikhuatiri lebih buruk kepada -7.6 peratus jika wujud gelombang baharu pandemik.

OECD turut menasihatkan negara-negara dunia untuk memberi tumpuan kepada pelaburan dalam sistem penjagaan kesihatan bagi memastikan sebarang penularan baharu dapat dibendung. Awani

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker