ATM Terkesan, PDRM Terluka dengan tuduhan Muhammadin Ketapi

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hari ini memaklumkan amat terkesan dengan kenyataan bekas menteri pelancongan, seni dan budaya Mohammadin Ketapi yang didakwa telah memperlekehkan pengorbanan anggota keselamatan dalam insiden pencerobohan di Lahad Datu pada 2013.

“ATM amat terkesan dengan kenyataan seorang ahli politik yang mengaitkan insiden pencerobohan di Lahad Datu pada tahun 2013 adalah merupakan suatu sandiwara negara.

“Tuduhan anggota ATM hanya membuat serangan kepada ayam dan anjing juga merupakan tuduhan yang tidak benar.

“Tuduhan itu juga memperlekehkan tugas serta tanggungjawab anggota tentera serta pasukan keselamatan lain dalam mempertahankan kedaulatan negara ketika itu,” kata kenyataan yang dikeluarkan Markas ATM Bahagian Hal Ehwal Awam-J7 petang ini.



Terdahulu Mohamaddin yang juga calon Warisan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Segama dilaporkan mendakwa tragedi di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada 2013 itu hanyalah peperangan bersama ‘ayam’ dan ‘anjing’.

Dalam satu video ucapannya yang tular di media sosial, Mohamaddin berkata pihak berkuasa ketika itu mengerahkan segala kekuatan sedangkan perperangan tidak berlaku.

“Jadi ada peperangan konon di Tanduo. Datanglah jet di Tanduo, dibomnya kelapa sawit orang. Habis hangus kelapa sawit orang, habis hangus rumah orang. Koyak rumah orang ditembak. Ini kenyataan.



“Habis itu, disuruh kereta kebal masuk di kampung-kampung suruh berperang sama ayam. Siapa kawan dia berperang? Tiada. Ayam sama anjing di kampung kawan dia berperang,” katanya dalam video berkenaan.

Dalam serangan itu, seramai 10 wira negara terkorban dalam Op Daulat semasa mempertahankan bumi Sabah daripada pencerobohan pengganas Sulu, termasuk serangan hendap di Tanduo, Lahad Datu dan Simunul, Semporna.

Tragedi itu turut menyaksikan sekurang-kurangnya 68 anggota pengganas Sulu ditembak mati.

Dalam pada itu ATM menyifatkan kenyataan pemimpin Warisan itu sebagai tidak bertanggungjawab.



“Ini merupakan suatu kenyataan yang tidak bertanggungjawab dan tidak boleh diterima sama sekali di mana kenyataan berkenaan turut menyinggung perasaan keluarga anggota yang terkorban baik ATM mahupun di pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Adalah ditegaskan ATM berperanan sebagai benteng pertahanan negara di mana organisasi ini sentiasa bersedia pada sebilang masa dalam melaksanakan tugas terutamanya dalam mendepani pelbagai ancaman,” kata kenyataan itu lagi.

ATM turut meminta agar rakyat Malaysia tidak sesekali mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh mengelirukan dan mendatangkan kemudaratan terhadap keharmonian negara.

Jelasnya, peranan rakyat Malaysia seharusnya bersama pasukan keselamatan menjaga kedaulatan dan maruah negara kerana ia merupakan tanggungjawab bersama. Mk



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker