Zairil dakwa Ku Li yang cadangkan dia sertai Dap

Saya tertarik untuk membalas laporan bertarikh 18 Sept 2020 di The Malaysian Insight yang bertajuk “Jangan jadi alat DAP, kata Ku Li pada anak muda Melayu”.

Dalam laporan tersebut, veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah (lebih dikenali dengan panggilan mesra Ku Li) dipetik sebagai memberi saranan kepada anak muda Melayu dalam DAP agar “tidak dijadikan alat oleh kumpulan dalam DAP untuk menguasai negara ini”.

Beliau kemudian menambah bahawa negara “ini asalnya Tanah Melayu dan tiada tempat lain di mana orang Melayu boleh pergi.”

Sudah menjadi kelaziman bagi pihak media untuk mensensasikan petikan-petikan tertentu tanpa konteks yang sebenar. Namun sekiranya apa yang dilaporkan itu betul, maka saya merasakannya pelik kerana sebenarnya Ku Li sendiri yang telah mencadangkan agar saya menyertai DAP lebih 10 tahun dahulu.



Zaman perubahan

Sekembalinya saya ke tanah air setelah tamat pengajian di United Kingdom pada akhir tahun 2006, saya mendapati Malaysia sedang mengalami gelombang politik yang makin ketara.

Pada tahun 2007, dua demonstrasi besar-besaran, iaitu perhimpunan Bersih yang pertama diikuti dengan perhimpunan Hindraf, telah mencetuskan momentum yang telah mendorong kepada kejayaan bersejarah oleh parti-parti pembangkang DAP, PKR dan PAS pada Pilihan Raya Umum 2008.

Bukan sahaja pembangkang berjaya menidakkan majoriti dua-pertiga di Dewan Rakyat yang sekian lama dinikmati Barisan Nasional (BN), mereka juga berjaya menewaskan BN di dewan-dewan undangan negeri Pulau Pinang, Selangor, Perak dan Kelantan.



Disuntik dengan semangat pembaharuan yang sedang menyemarak di negara, ditambah pula dengan penyertaan generasi anak muda di barisan hadapan politik, saya pun membuat keputusan untuk berkecimpung dalam kancah politik Malaysia.

Namun begitu, saya tidak pasti apakah cara yang paling afdal untuk menyertai politik kepartian. Saya berasa perlu mendapat nasihat daripada orang yang lebih berpengalaman dalam bidang politik.

Justeru, saya telah berjumpa dengan Ku Li, iaitu seorang rakan seperjuangan arwah ayahanda saya yang saya menganggap sebagai seorang mentor dan father figure.

Walaupun peristiwa ini telah berlaku lebih sedekad lalu, saya masih lagi boleh ingat dengan jelas perbualan yang bertempat di rumah putih Ku Li di Kuala Lumpur.



Dengan penuh semangat, saya telah menyampaikan hasrat saya untuk menyumbang jasa kepada perjuangan untuk membawa pembaharuan dalam politik tanah air.

Saya sedikit sebanyak ingin mengikuti jejak langkah arwah ayahanda saya yang semasa zaman mudanya telah memainkan peranan yang penting dalam peralihan politik yang telah berlaku di negara kita pada tahun 1957.

Ku Li telah menerima baik keinginan saya untuk menyertai perjuangan politik, malah menzahirkan kepercayaannya pada kemampuan saya untuk menawarkan khidmat bakti dengan terpuji.

Beliau juga menyatakan dengan dukacita bahawa Umno sudah pun menyimpang daripada perjuangan asal. Malah, seorang anak muda dengan idea yang berbeza sudah tentu akan menghadapi kesukaran untuk menaiki tangga hierarki parti.



Akhirnya, beliau mencadangkan sesuatu yang tidak saya sangkakan. “Mungkin kamu patut mempertimbangkan menyertai parti pembangkang kerana mereka lebih bersedia untuk memberi peluang kepada anak muda.”

Beliau kemudiannya bertanya di manakah ingin saya berpusat dari segi politik. Saya menjawab di Pulau Pinang kerana saya telah membesar di sana. Lalu beliau berkata bahawa sekiranya itu kehendak saya, maka pilihan pun jelas. “Saya percaya kamu mampu membawa impak jika kamu menyertai DAP.”

Maka itulah cerita bagaimana saya menjadi ahli DAP pada tahun 2010. Sehingga ke hari ini, Ku Li masih mengingatkan saya bahawa beliaulah orang yang menasihati saya agar menyertai DAP. Mk



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker