Tolak Bisikan Beracun Konon Calon Bebas Mesra BN

Share

Rakyat Sabah harus menolak bisikan ‘beracun’ daripada calon bebas yang cuba mempengaruhi pengundi kononnya mereka adalah calon bebas yang mesra kepada Barisan Nasional (BN).

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, itu semua adalah taktik untuk mensabotaj calon BN yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

“Saya dapat tahu, ada suara daripada enam penjuru yang bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Gum Gum ini yang bertanding atas tiket bebas, berbisik ke telinga pengundi memberitahu walaupun mereka calon bebas tapi mesra BN.

“Kalau sudah mesra BN tak payahlah bertanding… letak jawatan SPR boleh terima, kempen untuk BN kalau betul mesra BN tapi ini tidak, bawa bisikan beracun, bisikan sabotaj untuk merosakkan parti kita.

“Kalau ada bisikan seperti itu datang kepada anda, beritahu kepada mereka, cukuplah… jangan tipu lagi dan anda kena pastikan 26 Sept ini lupakan lima penjuru yang lain, ingat nombor empat (4) , pangkah nombor empat iaitu calon BN,” ujar beliau memetik laporan UMNO Online.

Jamil Khir bercakap demikian ketika berucap dalam program ramah mesra bersama para pengundi di Kampung Sungai Memanjang DUN Gum Gum.

Dalam ucapannya Jamil Khir turut mengingatkan kepada para pengundi untuk menolak calon Warisan kerana sudah terbukti Warisan gagal mentadbir negeri Sabah apatahlagi dalam membela nasib rakyat.

“Saya juga melihat ada bendera yang cukup popular yang sudah memerintah selama 28 bulan di Sabah. Kita lihat laporan ekonomi negeri Sabah telah jatuh dari 5.8 peratus KDNK di zaman BN jatuh kepada 1.5 peratus. Bukan sahaja ekonomi jatuh, kadar pengangguran juga meningkat daripada 1.8 peratus ketika zaman BN naik kepada 5.8 peratus.

“Jadi, kalau kita biar Warisan terus tadbir Sabah maka apa akan jadi dengan negeri ini nanti. Sebab itu, pada 26 Sept ini, kita harus memastikan BN kembali mentadbir di Sabah kerana hanya BN yang boleh membela nasib rakyat, kita ubah balik,” ujar beliau.

Turut hadir dalam program tersebut adalah Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan calon BN DUN Gum Gum Suhaimi Nasir. BN

Leave a Reply