Slogan ‘Billboard’ untuk sorok kegagalan bantu rakyat Sabah, kata Najib

Najib Razak mempersoalkan tindakan Warisan Plus menggunakan slogan “unity” atau perpaduan untuk kempen mereka dalam Pilihan Raya Negeri Sabah, sedangkan perpaduan dan keharmonian kaum sudah menjadi kebanggaan negeri itu.

Bekas perdana menteri itu percaya tindakan Warisan Plus itu bertujuan mengalihkan perhatian daripada kegagalan mereka membantu rakyat Sabah ketika krisis Covid-19 dan membangunkan ekonomi negeri, sebaliknya ia menjadi negeri yang mencatatkan pertumbuhan tercorot selepas Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

“Kenapa Warisan Plus menggunakan slogan ‘Unity’ atau perpaduan untuk kempen PRN mereka? Kenapa nak janji memberi sesuatu yang sudahpun lama wujud di Sabah?

“Jika kita perhatikan betul-betul, puak Warisan Plus jarang sebut tentang ‘track record’ pertumbuhan ekonomi dan rancangan serta hala tuju mereka untuk membangunkan Sabah dalam ceramah-ceramah PRN mereka.

“Sebaliknya, mereka cuma mainkan sentimen ‘Unity’ dan maruah Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Pekan itu turut menyenaraikan beberapa janji yang gagal dilaksanakan Shafie selepas dilantik menerajui Sabah, termasuk Warisan berjanji ketua menteri tidak boleh memegang jawatan menteri kewangan.

“Warisan janji akan hadkan jawatan ketua menteri untuk 2 penggal. Janji ini langsung tak ditunaikan, malah had tempoh 2 penggal Tuan Yang Terutama (Yang di-Pertua Sabah) sedia ada pula dimansuhkan Warisan.

“Warisan janji akan kembalikan royalti minyak 20% dan 50% cukai. Di mananya?

“Warisan janji akan naikkan pembangunan ekonomi Sabah dan menjana banyak peluang pekerjaan, tapi yang warga Sabah dapat pula ialah pertumbuhan ekonomi Sabah tukar dari paling tinggi di bawah BN ke paling corot antara semua negari untuk 2 tahun berturut-turut.”

Katanya, Warisan berjanji akan membatalkan projek empangan Kaiduan jika memenangi PRU14, tetapi projek itu diteruskan selepas dijenamakan semula sebagai empangan Papar.

“Warisan janji 33% peruntukan pembangunan daripada bajet tahunan kerajaan Pakatan Harapan akan diberi kepada Sabah dan Sarawak, tapi yang dapat cuma 17.1% saja.”

Beliau berkata, rakyat Sabah tidak akan mendapat sebarang manfaat jika Warisan Plus memenangi PRN kali ini.

“Di sebalik permainan sentimen dan slogan ‘Unity’ serta ‘maruah’ Sabah dari puak Warisan, tiada apa-apa yang boleh diharapkan warga Sabah jika Warisan menang. Dapat balik sebuah kerajaan yang terbukti gagal menjaga dan membantu warga Sabah yang susah semasa krisis Covid.” FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker