Selepas 26 bulan jadi KM, baru sekarang Shafie bersuara tuntut SST minyak

Anifah Aman hari ini mempersoal pendirian Ketua Menteri Sabah, Shafie Apdal yang “baru sekarang” menuntut bayaran tunggakan cukai jualan negeri (SST) ke atas produk petroleum kepada Sabah walaupuan sudah menerajui kerajaan selama 26 bulan.

Presiden Parti Cinta Sabah (PCS) itu berkata, jika Shafie ikhlas, tuntutan bayaran itu sepatutnya dibuat lama sebelum ini, bukannya ketika kempen pilihan raya negeri (PRN) Sabah sedang berjalan.

“Ketua menteri interim Shafie Apdal telah mengeluarkan kenyataan bahawa beliau akan menyaman Petronas jika ia gagal membayar SST atas petroleum yang diambil dari Sabah.

“Selama 26 bulan beliau jadi ketua menteri Sabah, tetapi baru sekarang bersuara? Kalau berita negeri Sarawak menerima SST Petronas tidak keluar, ketua menteri interim kita terus senyap sahaja dalam isu ini?

“Saya pelik, jika Shafie ikhlas dalam perjuangan royalti dan SST minyak Sabah, beliau tidak perlu tunggu sampai berita kejayaan negeri Sarawak terima SST baru keluar kenyataan.

“Namun, beliau tidak boleh jawab sedemikian sebelum ini di bawah pemerintahan ‘gurunya’ Dr Mahathir, yang berulang kali menolak permintaan royalti 10% dan SST minyak negeri Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Anifah juga tidak menolak kemungkinan tindakan Shafie bersuara sekarang berhubung tuntutan bayaran balik SST kerana menyedari kerajaan Warisan pimpinannya di Sabah semakin ditolak rakyat.

“Adakah kerana beliau kini sedar bahawa parti Warisan semakin lama semakin lemah di mata rakyat, maka isu royalti dan SST minyak itu digunakan untuk agenda tersendiri?

“Kenapa Shafie masih lagi mempermainkan anak-anak Sabah seperti mereka tidak tahu apa-apa? Sudahlah Warisan, (rakyat) Sabah sedar,” katanya.

Beliau berkata, PCS sememangnya memasukkan agenda royalti minyak sebagai salah satu agenda utama dalam manifesto perjuangan parti itu.

“Malah saya telah mengumumkan hasrat PCS untuk menubuhkan Kementerian Industri Minyak dan Gas untuk memperjuangkan hak royalti dan SST Sabah,” katanya.

Shafie baru-baru ini mengancam untuk menyaman Petronas jika ia gagal membayar tunggakan SST ke atas produk petroleum kepada Sabah.

Beliau mengulas laporan baru-baru ini mengenai syarikat minyak negara itu membayar tunggakan SST ke atas produk petroleum bagi 2019 berjumlah RM2.96 bilion kepada kerajaan Sarawak.

“Saya akan tuntut cukai, saya sudah letak cukai jualan kepada syarikat. Petronas patut bayar. Saya difahamkan Sarawak sudah dapat.

“Kalau bayar Sarawak, kenapa Sabah tidak boleh bayar? Kalau tidak bayar, saya bawa ke mahkamah,” katanya ketika berucap pada majlis bersama rakyat bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Aru, Petagas dan Tanjung Keramat di Dewan Sri Putatan pada Jumaat. FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker