Pengawal keselamatan ‘dirasuk’ belasah jiran guna batu bata

Share

KEMAMAN – Seorang pengawal keselamatan ditahan selepas menumbuk muka dan memukul kepala sepasang suami isteri dengan batu bata dalam kejadian di Kampung Padang Kubu, Air Puteh di sini semalam.

Menurut sumber, suspek berusia 35 tahun yang ketika itu sedang berehat di rumah didatangi pasangan tersebut yang juga jiran sebelah rumah lalu bertanyakan di mana anaknya meletakkan kasut mereka dalam kejadian kira-kira jam 12.15 tengah hari.

Sumber berkata, suspek tidak berpuas hati dengan pertanyaan yang seolah-olah menuduh anaknya mencuri tanpa usul periksa itu terus menghampiri mangsa lelaki berusia 27 tahun lalu menumbuk muka sebanyak empat kali.”Suspek yang tidak berpuas hati, mengambil batu bata yang ada berhampiran lokasi lalu memukul belakang kepala termasuk di bahagian leher mangsa.

“Isteri mangsa yang ada bersama cuba menghalang perbuatan suspek tetapi turut dipukul di tangan dengan batu bata sehingga cedera.

“Tanpa menghiraukan rayuan pasangan suami isteri itu, mangsa seperti dirasuk apabila memukul mereka bertubi-tubi sehingga masing-masing mengalami kecederaan di kepala dan leher,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Kata sumber, tidak berpuas hati dengan tindakan suspek, mangsa mengambil keputusan membuat laporan di Balai Polis Ayer Puteh di sini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, suspek berjaya ditahan di rumahnya kira-kira jam 6 petang semalam untuk bantu siasatan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan.

“Sepasukan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman membuat serbuan di sebuah rumah di Kampung Padang Kubu, Air Puteh.

“Kami turut merampas dua barang kes iaitu satu batu bata yang masih elok dan satu lagi batu bata pecah di tepi jalan berek kilang dipercayai digunakan mencederakan kedua-dua mangsa,” katanya.

Leave a Reply