Operasi menyelamat gagal temui pesawat didakwa terhempas di Tanjung Bungah

Share

Polis bersama beberapa agensi lain menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan laut petang tadi selepas menerima laporan daripada saksi memaklumkan sebuah pesawat ringan dipercayai terhempas sebelum terjunam ke dalam laut berhampiran Tanjung Bungah di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Soffian Santong berkata, sehingga pukul 6.30 petang tadi pihaknya tidak menemui sebarang petunjuk atau bangkai pesawat yang didakwa terjatuh itu.

“Operasi dihentikan berikutan cuaca semakin gelap dan kemungkinan ia akan disambung esok jika kami mendapat maklumat terbaru mengenai kejadian tersebut.

“Polis juga setakat ini tidak menerima laporan berhubung pesawat terhempas dari Jabatan Penerbangan Awam (DCA),” katanya di sini, hari ini.

Katanya, 2 lelaki itu memaklumkan mereka ternampak pesawat berwarna gelap terhempas kira-kira 2 petang sebelum memaklumkan kejadian berkenaan kepada pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, beliau meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat atau melihat kejadian pesawat terhempas itu agar tampil menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membantu siasatan.

“Polis juga meminta sesiapa yang kehilangan ahli keluarga terdiri daripada juruterbang pesawat agar tampil membuat laporan polis kerana setakat ini kami tidak menerima sebarang laporan daripada keluarga mangsa,” katanya.

Terdahulu, tular di laman sosial seorang lelaki membuat laporan polis selepas beliau dan rakannya ternampak sebuah pesawat ringan terhempas sebelum terjunam terus ke dalam laut ketika mereka berada di kawasan pantai di Tanjung Bungah hari ini.

Menurut saksi, kejadian tersebut berlaku pantas dan terdapat asap keluar daripada pesawat berkenaan sebelum ia terjunam ke dalam laut.

Berikutan itu, orang ramai membanjiri kawasan pantai tersebut untuk melihat operasi mencari dan menyelamat yang dijalankan pihak berkuasa, termasuk Angkatan Pertahanan Awam. FMT

Leave a Reply