Mangsa terakhir keracunan karbon monoksida semakin stabil

BUKIT MERTAJAM – Mangsa terakhir keracunan karbon monoksida ketika empat sahabat tertidur di dalam sebuah kereta dinaiki semasa berhenti di kawasan parkir sebuah stesen minyak di Sama Gagah, Butterworth dekat sini Rabu lepas semakin stabil.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, keadaan Nor Aqilah Mohd Safwan, 21, ketika ini semakin stabil berbanding semalam yang masih kritikal.

“Mangsa masih menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan di Kuala Lumpur dan doktor di sana memantau secara rapi keadaan wanita itu dari masa ke masa.

“Pihak polis juga sentiasa mendapatkan maklumat keadaan mangsa dari masa ke masa daripada pasukan perubatan di sana, mari kita sama-sama doakan semoga dia cepat sembuh,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Sementara itu, katanya, laporan bedah siasat yang diterima polis berhubung tiga sahabat yang meninggal dunia dalam kejadian itu adalah disebabkan terhidu gas karbon monoksida hingga menyebabkan kegagalan pelbagai organ berfungsi.

“Laporan bedah siasat mendapati tiga sahabat itu maut akibat pelbagai organ mereka gagal berfungsi disebabkan terhidu karbon monoksida ketika berada di dalam kereta dinaiki mereka,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Mangsa terakhir keracunan karbon monoksida masih kritikal

Dalam kejadian itu, Sharifah Fariesha Syed Fathi, Ayuni Shazwanie Shabri dan Nor Adilah Mohd Safwan meninggal dunia, manakala Nor Aqilah kritikal, selepas keempat-empat mereka yang berumur 21 tahun ditemui tidak sedarkan diri di kawasan tempat letak kereta stesen minyak Sama Gagah dipercayai akibat keracunan karbon monoksida apabila mereka tertidur semasa berehat di dalam kereta itu dengan cermin tingkap tertutup.

Nor Adilah yang merupakan kembar kepada Nor Aqilah pada awalnya terselamat namun meninggal dunia ketika dirawat di ICU Hospital Angkatan Tentera Lumut, Perak pada jam 4.23 petang Khamis lepas.

Semua pelajar di sebuah kolej perubatan swasta di Batu Caves, Selangor itu, dikatakan singgah berehat di stesen minyak berkenaan kira-kira jam 8.30 malam selepas Nor Aqilah yang memandu kereta jenis Honda Odyssey tersebut memaklumkan dia pening dan muntah.

Mereka ketika itu dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing di Sungai Petani dan Gurun, Kedah selepas bercuti di Pulau Jerejak, Pulau Pinang sempena Hari Malaysia.

Empat sahabat berkenaan ditemui tidak sedarkan diri di dalam kereta berkenaan dalam keadaan enjin masih terpasang oleh bapa Ayuni Shazwani kira-kira jam 12.30 tengah malam Khamis. – Bernama

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker