Bila DAP perintah negara, semua bantuan Bumiputera dipadam, kata Zahidi

Bantuan 1 juta komputer percuma kepada pelajar miskin yang diperuntukkan di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah dimansuhkan oleh DAP selepas mengambil alih Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM).

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, bantuan sama pernah diberikan kepada pelajar miskin sewaktu Barisan Nasional (BN) mentadbir negara.

“Dulu ini kita BN (kerajaan pusat) kita boleh bagi derma 1 juta peruntukan komputer daripada MCMC, kementerian saya.

“Bila masuk Gobind Singh pegang, beliau padam semua (bantuan) untuk kita nak bagi bantuan pelajar susah, semua tak boleh dapat.

“Dulu kita boleh belanja duit MCMC untuk tolong komputer (percuma), kita bagi sekolah-sekolah,” katanya berucap pada Majlis Perasmian Penutup Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Uitm Se-Malaysia Sesi 2019/2020 di Geno Hotel, Shah Alam, hari ini.

Zahidi juga mendedahkan, bukan sahaja bantuan komputer percuma untuk pelajar miskin, segala bantuan untuk pelajar Bumiputera khususnya di UiTM turut dimansuhkan.

“DAP ini padam (bantuan) untuk tolong Bumiputera terutama UiTM dan sebagainya.

“Dari dulu perjuangan DAP ini adalah untuk susahkan kita (Bumiputera),” katanya.

Bagaimanapun katanya, beliau akan merayu kepada Kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk memperkenalkan semula bantuan komputer percuma itu dalam masa terdekat.

“Saya nak merayu kerajaan buat balik (bantuan komputer percuma) supaya MCMC masih boleh bagi komputer percuma kepada pelajar susah.

“Masa kita BN dulu, no problem, cakap hari ini, memang dua minggu sampai komputer, tak susah,” katanya lagi. MG

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker