Menang lebih penting, kata Salleh menolak cakap-cakap berhubung ‘calon alternatif’

Salleh Salleh Keruak menolak cakap-cakap bahawa beliau mungkin bertanding sebagai calon ketua menteri alternatif sekiranya Barisan Nasional (BN) dan sekutunya memenangi pilihan raya negeri Sabah hujung bulan ini.

Pemerhati politik berkata, Salleh merupakan “calon alternatif” bagi kerusi panas itu sebagai langkah kompromi sekiranya berlaku pertikaian antara BN dengan Perikatan Nasional (PN), yang dijangka akan mencalonkan masing-masing pengerusi BN Sabah Bung Moktar Radin dan pengerusi PPBM negeri Hajiji Noor sekiranya gabungan pembangkang itu berjaya membentuk kerajaan negeri baru.

Pemerhati bersetuju bahawa kehadiran Salleh sebagai calon ketua menteri alternatif boleh membantu melunakkan kemungkinan pertelagahan dalaman antara BN dan PN.

Bagaimanapun Salleh, yang merupakan ketua menteri Sabah dari 1994 hingga 2004, menjarakkan dirinya dari cakap-cakap itu dengan berkata, beliau lebih berminat untuk memberi tumpuan kepada pilihan raya yang sedang dihadapi.



“Isu itu (calon alternatif) tidak timbul sama sekali,” katanya selain menambah, “tugas saya ialah untuk menang dan mempertahankan kerusi Usukan kerana ia merupakan tempat kelahiran Umno (di Sabah).”

Beliau berkata, lantikan sebagai ketua menteri merupakan perkara ke-2 pada masa ini, sekali gus menambah bahawa beliau bekerjasama dengan semua pihak, terutamanya Bung dan Hajiji bagi memastikan pembangkang menang dan berjaya menjatuhkan kerajaan Warisan Plus.

“Kita tidak berminat tentang siapakah yang akan menjadi ketua menteri selepas ini. Paling penting ialah kerja pasukan.

“Kita berminat untuk mewujudkan pasukan yang mampu memastikan Sabah tidak ketinggalan dari segi pembangunan,” kata Salleh.



Pemerhati politik berkata, Salleh merupakan pilihan yang munasabah berdasarkan pengalaman luasnya sebagai bekas ketua menteri, selain pelantikannya ke jawatan tinggi lain seperti menteri persekutuan, bekas bendahari agung Umno dan ahli Majlis Tertinggi Umno.

Beliau adalah antara menteri kanan Umno yang dikritik kerana keluar parti pada Disember 2018. Beliau kemudiannya memohon untuk menyertai PKR, tetapi langkah itu dibantah oleh ahli parti.

Susulan itu Salleh membatalkan permohonan tersebut April lepas dan membuat permohonan untuk menyertai semula Umno bulan berikutnya.

Semuanya dilihat telah dilupakan kini selepas Bung menamakan beliau sebagai calon Umno di Usukan.



Hari ini Salleh cuba memastikan beliau diterima baik oleh rakyat dengan membuat permohonan maaf terbuka atas “kesilapan lepas” pada ceramah di Kampung Timbang Dayang di sini.

Selain Bung, bekas perdana menteri Najib Razak juga dilihat hadir pada acara itu. FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker