Momentum Kempen, Penerimaan Rakyat Di Tempasuk Amat Baik – Calon BN, Arsad Bistari

Share

Memasuki fasa kedua tempoh berkempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Sabtu ini, calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tempasuk Mohd Arsad Bistari melahirkan rasa syukur kerana proses berkempen berjalan lancar dengan pelbagai bentuk kempen dilaksanakan oleh seluruh jentera parti pelbagai peringkat.

Katanya kempen rumah ke rumah diteruskan sepertimana kebiasaan dan apa yang penting memohon restu daripada orang lama termasuklah kalangan pelbagai peringkat usia dalam usaha menarik undi kepada BN pada 26 September nanti.

‘’Alhamdulillah sampai ke hari ini sokongan anak-anak muda juga memihak kepada kita dan pelbagai peringkat golongan lain turut menyatakan maklum balas yang sama iaitu untuk bersama-sama membentuk kerajaan baru.

‘’Pendekatan saya lebih suka berdialog terutama di kalangan anak-anak muda yang memberi peluang kepada mereka dan kumpulan pengundi lain untuk mendengar apa visi dan apa misi kita, misi parti untuk DUN Tempasuk ini.

‘’Setakat ini saya bersyukur momentum telah meningkat dan akan kita tingkatkan daripada semasa ke semasa terutama menjelangnya hari pengundian nanti,’’ ujarnya.

Ditanya apa kelebihan berbanding calon-calon lain di DUN tersebut yang menampilkan lima lagi calon lain selain beliau, Arshad menjelaskan salah satu kelebihan sebenarnya terletak kepada parti dan diri beliau hanya dicalonkan oleh BN.

‘’Saya mempunyai impian tersendiri untuk membangunkan Tempasuk…membina ilmu kepada anak-anak muda yang perlu diuntut dan dicari. Daripada situ akan wujudnya satu peluang ekonomi dan bukan hanya berkisar kepada soal kekayaan dan keselesaan, sekurang-kurangnya dapat membantu diri kita sendiri.

‘’Jika ekonomi ini pula berkembang ianya pula akan membantu komuniti dan sekaligus memberi manfaat kepada semua golongan, insya-Allah akan terus berkembang sekaligus merealisasikan anak-anak muda khususnya di DUN Tempasuk ini.

‘’Namun tumpuan terhadap kumpulan pelbagai peringkat lain juga kita tidak akan lupakan. Kita akan pikul tanggungjawab. Insya-Allah Tempasuk akan terus dibangunkan,’’ ujarnya. – UMNO Online

Leave a Reply