Avatar pada FB tidak haram

Share

 

KUALA LUMPUR: Penggunaan aplikasi Avatar berbentuk kartun yang popular ketika ini bagi menggambarkan diri pemilik dalam akaun Facebook (FB) tidak haram dilakukan umat Islam.

Ahli Jawatankuasa Fatwa Kedah dan Pulau Pinang, Dr Mohd Hapiz Mahaiyadin, menjelaskan Avatar yang digunakan dalam media sosial khasnya FB tidak ada kaitan dengan perkara yang boleh menggugat akidah umat Islam.

“Avatar yang digunakan dalam FB bukan merujuk kepada maksud penjelmaan tuhan seperti dalam agama Hindu.

“Perkataan Avatar itu juga dihilangkan maksud keagamaannya, lalu digunakan sebagai terma saintifik dalam dunia digital,” katanya kepada BH, hari ini.

Avatar, ciri baharu diperkenalkan FB sejak Mei lalu mula menjadi fenomena di media sosial kerana membolehkan pemilik akaun laman sosial itu mencipta imej kartun mereka sendiri.

Bagaimanapun, letusan penggunaan Avatar di dalam FB dalam kalangan masyarakat Islam menimbulkan polemik berikutan ada pihak mahu umat Islam berwaspada menggunakan aplikasi itu.

Namun, Mohd Hapiz mengingatkan pengguna FB berwaspada dengan pelbagai jenis aplikasi atau permainan digital yang disertai dalam media sosial.

Pensyarah Kanan di Akademi Pengajian Islam Kontemporari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, berkata umat Islam perlu menyemak setiap aplikasi sebelum digunakan bagi mengelak pegangan akidah rosak.

“Golongan agamawan pula, jangan terlalu kritikal dalam setiap perkara sehingga mengaitkannya dengan akidah.

“Mereka perlu tahu adakah ia berkaitan atau tidak dengan akidah atau disisihkan nilai agama tertentu sehingga menjadi istilah umum,” katanya.

Sementara itu, pendakwah bebas, Shahrizan Daud Al Turabi, senada dengan Mohd Hapiz dengan menyifatkan Avatar adalah sekadar ciri baharu FB berbentuk imej kartun.

“Avatar ada dua makna, yang pertama ia berkaitan dengan patung penyembahan Hindu dan juga sekadar imej kartun.

“Pada saya, tidak ada masalah bagi yang menggunakan ciri baharu berkenaan dengan menampilkan imej kartun. Ini berikutan nama kartun itu adalah Avatar, jadi ia tidak berkaitan langsung dengan sembahan Hindu,” katanya.- BH

Leave a Reply