PN kerajaan ‘functional’ luar biasa: Muhyiddin

KOTA KINABALU – Kerajaan Perikatan Nasional (PN) adalah sebuah kerajaan ‘functional’ atau kerajaan yang menjalankan fungsi dan peranan dalam membantu rakyat terutama yang terkesan akibat pandemik koronavirus (Covid-19).

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pelbagai pihak membuat kajian dan mendapati kerajaan PN adalah sebuah kerajaan paling popular dan luar biasa.

“Dalam tempoh singkat sejak saya mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 1 Mac lalu, terbukti bahawa kerajaan PN ini bukan sahaja nama kerajaan tetapi ia adalah kerajaan yang menjalankan fungsi dan peranan untuk membantu rakyat jelata tidak kira di mana saja berada.

“Dalam ucapan saya berkali-kali dalam televisyen bahawa tidak ada seorang pun tertinggal di belakang, hatta di Sabah ini. Setiap individu rakyat Malaysia akan kita bantu dan kita lindungi sebaiknya,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra bersama Perdana Menteri di Kampung Darau di sini hari ini.

Hadir sama, calon yang mewakili Barisan Nasional (BN) iaitu bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Darau, Datuk Jumat Idris dan DUN Karambunai, Datuk Yakub Khan.

Menurutnya, tinjauan dan kajian yang dilaksanakan pelbagai pihak menyatakan beliau seorang ‘Abah’ paling popular dalam sejarah negara.

“Ini bukan saya kata, nanti ada yang kata masuk bakul angkat sendiri tetapi begitulah realiti bagaimana kita ketahui ia hanya dalam tempoh begitu singkat saya tidak tahu berapa bulan, tapi kerajaan PN mampu membantu dan melindungi rakyat Malaysia khususnya ketika Covid-19,” katanya.

Terdahulu, Muhyiddin berkata, beliau turut merasai keinginan rakyat Sabah yang mahukan perubahan dalam pentadbiran kerajaan negeri Sabah.

Katanya, hasil lawatan ke beberapa kawasan di Sabah mendapati kerjasama yang ditunjukkan kepimpinan dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kini semakin diterima dan mampu membentuk kerajaan.

“Pagi tadi saya ke Beaufort; kemudian ke Kuala Penyu; selepas itu di Kinarut seterusnya di sini (Darau), hampir kesemua tempat dipenuhi ramai orang,” katanya.

Menurutnya, rakyat inginkan sebuah kerajaan yang sehaluan dengan kerajaan Persekutuan bagi membantu membangunkan Sabah.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker