Husam orang pertama cadang Mahathir jadi PM – Kamarul Yusoff

Share

Husam Musa antara pemimpin pembangkang pertama mencadangkan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri sekiranya Pakatan Harapan (PH) menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Perkara itu didedahkan penganalisis politik, Dr. Kamarul Zaman Yusof yang mengakui pernah berkawan dengan bekas Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Kelantan sebelum PRU tahun 2018 itu.

Katanya, salam isu pencalonan Perdana Menteri PH menjelang PRU-14, Husam pernah menyebut pada 12 Julai 2019 bahawa beliau merupakan yang pertama mencadangkan Mahathir tetapi dia dikritik oleh banyak pihak.


“Memang ada laporan berita bertarikh 21 Mei 2017 bertajuk, Husam cadang Mahathir calon PM, yang memuatkan rayuannya supaya rakan dalam PH menerima Mahathir sebagai calon perdana menteri jika PH menang PRU-14,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Pada 14 September lalu, Pengarah Komunikasi Amanah Pusat, Khalid Abd. Samad mengesahkan peletakan jawatan Husam sebagai Naib Presiden dan Pengerusi Amanah Kelantan.

Keputusan itu diluluskan dalam mesyuarat bulanan Jawatankuasa Nasional Amanah pada 6 September lalu.


Menurut Kamarul Zaman, Husam mengemukakan cadangan itu kerana Datuk Seri Anwar Ibrahim masih dipenjara dan mana-mana nama pemimpin lain dalam PH sebagai calon akan menyebabkan ada pihak tidak berpuas hati.

Sebab itu, katanya, nama Mahathir perlu diangkat sebagai calon perdana menteri PH oleh Husam.

Selain itu, katanya, beliau juga mengetahui kerja buat Husam dalam mengangkat imej Mahathir, antaranya mengatur majlis dialog bekas perdana menteri keempat dan ketujuh itu dengan cendekiawan Melayu bertajuk Hala Tuju Politik Melayu di Yayasan Kepimpinan Perdana pada 25 Julai 2017.


“Sebab itu, apabila Husam kini menyebut ‘kedudukan Mahathir di mata sebahagian besar rakyat adalah kehilangan kepercayaan yang teruk, yang merudum, dipanggil sebagai lost of trust ataupun kehilangan kepercayaan maka impaknya adalah besar.

“Malah, Husam juga menyebut 13 kerusi Parlimen yang dimenangi Parti Bersatu dalam PRU-14 tidak wajar diberikan kepada Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) dengan alasan boleh menggagalkan hasrat Perikatan Nasional (PN) untuk mengambil balik kuasa dari PH.

“Bagaimanapun, apabila Mahathir kini ditolak secara total oleh pemimpin politik yang mula-mula sekali mencadangkan nama beliau sebagai calon perdana menteri PH, penolakan ini adalah satu penolakan ultimate yang pastinya akan meruntuhkan kedudukan beliau dan Parti Pejuang,” katanya.

Kamarul Zaman yang juga pensyarah di Universiti Utara Malaysia (UUM) turut mendedahkan ramalan Husam bahawa Amanah akan tewas di tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam Parlimen Kubang Kerian jika bertanding PRU14, dan ternyata menjadi kenyataan.

“Saya agak biasa juga bertemu dan berbual dengan Husam dalam tempoh sebelum PRU-14, dia seorang pemimpin politik yang agak menarik orangnya dengan sikapnya yang agak terkehadapan dan suka berterus-terang.

“Saya masih ingat lagi sewaktu singgah beraya di rumahnya pada 25 Jun 2017, Husam secara selamba menyebut di depan saya bahawa Amanah akan kalah di ketiga-tiga kerusi DUN di Kubang Kerian dalam PRU-14 dan ini ternyata berlaku kemudiannya,” ujarnya. MG

Leave a Reply