Adik-beradik The Melvins kini bergelar jutawan muda

Empat adik beradik selebriti The Melvins mengesahkan khabar angin yang mengatakan mereka kini bergelar jutawan muda dengan pelancaran jenama Kekasih by The Melvins.

Syatilla, Syifa, Syida dan Syafiqa Melvin yang mengusahakan produk kosmetik jenama Kekasih by The Melvins mengakui berjaya menjana jualan RM11 juta sejak beroperasi Mei tahun lalu.

“Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah, semua yang kami peroleh adalah hasil usaha sendiri dan rezeki pemberian-Nya.

“Kami juga beruntung kerana mempunyai pelanggan yang sentiasa memberikan sokongan. Apa pun, kami rasakan masih banyak perkara yang perlu kami belajar dalam bidang perniagaan ini.

“Apa yang penting, kami gembira kerana apa yang kami usahakan mendapat respon positif peminat yang menjadi pelanggan.

“Keutamaan kami dalam perniagaan ini adalah untuk berkongsi rezeki dengan yang lain,” kata Syifa mewakili The Melvins.

Syifa ditemui pada majlis pelancaran produk kosmetik, Kekasih by The Melvins di Shah Alam Convention Centre semalam.

Pada majlis sama, The Melvins turut melancarkan 60 papan iklan di seluruh negara bagi produk kecantikan itu.

Tambah Syifa lagi, dia bersyukur dikurniakan dengan adik-beradik yang sangat positif dan bersungguh-sungguh dalam menjalankan perniagaan sehingga meraih keuntungan berlipat ganda.

“Tanpa sokongan adik-beradik lain mungkin Kekasih by The Melvins tidak akan sampai ke tahap ini. Saya harus memberikan kredit kepada ketiga-tiga cinta hati saya yang sentiasa berusaha dan mempunyai semangat untuk berjaya.

“Mungkin salah satu rahsia kejayaan kami adalah menjaga hubungan baik antara adik-beradik. Kami tak gaduh, tak masam muka, tak cemburu apatah lagi berkira fasal duit.

“Ibu dan ayah selalu pesan apapun yang terjadi adik-beradik tak boleh berpecah. Masing-masing kena ambil tanggunjgawab untuk membantu dan saling menyayangi. Alhamdulillah tak sangka rezeki Allah nak bagi dalam sekelip mata,” katanya.

Kekasih by The Melvins menawarkan beberapa pilihan produk kecantikan seperti krim bedak asas, matte bibir, eyeshadow dan blusher.MG

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker