6 manifesto tambahan khas untuk DUN Karamunting

Share

SANDAKAN – Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Karamunting memiliki manifesto tambahan dalam menggariskan rancangannya untuk memajukan lagi kawasan itu jika dipilih oleh pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, 26 September ini.

Datuk Chew Kok Woh berkata, beliau berhasrat merancakkan pembangunan di kawasan itu dari segi ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat, tambahan kepada Aku Janji Gabungan Rakyat Sabah yang dilancarkan semalam.

“Enam manifesto (untuk Karamunting) ialah menubuhkan zon perdagangan bebas, menubuhkan pusat perniagaan dalam talian (e-dagang) dan menaik taraf dengan memodenkan kawasan lapang Pasir Putih.

“(Saya) Juga (ingin) membangunkan kawasan perumahan atas air sebagai inap desa, pembinaan perumahan kos rendah dan membina lebih banyak klinik,” katanya ketika melancarkan manifesto itu di sini.

Beliau berkata, zon perdagangan bebas yang dicadangkan di Pelabuhan Sandakan dalam DUN Karamunting diilhamkan daripada Johor Premium Outlet dan dijangka melonjakkan sektor pelancongan di kawasan itu sekali gus merancakkan aktiviti ekonomi serta menarik pelabur ke Sandakan.

Kok Woh berkata, sebuah perkampungan bersejarah di kawasan tersebut iaitu Kampung Pukat boleh diangkat sebagai satu tarikan pelancong menggunakan konsep inap desa seperti Kampung Kukup di Johor.

“Saya telah berkesempatan meninjau Tanjung Piai semasa pilihan raya kecil pada (November) tahun lepas dan Kampung Kukup menjadi inspirasi kepada saya untuk membangunkan Kampung Pukat,” katanya.

Beliau berkata, kawasan lapang di Pasir Putih juga akan dibangunkan sebagai pusat rekreasi tepi pantai selain berusaha menaik taraf perkhidmatan jalur lebar bagi merealisasikan sebuah pusat e-dagang untuk manfaat usahawan dalam talian di situ.

Kok Woh juga prihatin dengan ketiadaan taman perumahan kos rendah dan akan berusaha mewujudkannya demi rakyat di kawasan itu selain menambah jumlah klinik kesihatan. – Bernama

Leave a Reply