PRN Sabah: Peluang menang seimbang

Share

LANDSKAP politik Malaysia selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018 lalu memperlihatkan ia berubah 100 peratus selepas berakhirnya dominasi Barisan Nasional (BN) yang memerintah negara selama lebih 60 tahun lamanya.

Tampuk pemerintahan negara bertukar tangan kepada Pakatan Harapan (PH) yang dianggotai oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara (Amanah), DAP dan rakan sekutu Parti Warisan Sabah (Warisan).

Tiada angin tiada ribut, selepas 22 bulan PH memerintah, parti yang dikepalai oleh Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri gugur selepas partinya sendiri Bersatu mengisytiharkan keluar PH sekaligus menyaksikan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Presiden Bersatu diangkat sebagai Perdana Menteri ke lapan bagi kerajaan Perikatan Nasional (PN).


Ironinya, parti Bersatu yang sebelum itu merupakan parti kecil berbanding parti komponen lain dalam PH telah menjadi kingmaker runtuhnya kerajaan dan kingmaker bagi pembentukan kerajaan Persekutuan baharu bersama BN dan Pas.

Di Sabah, Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ke-16 pada 26 September ini memperlihatkan banyak parti lokal yang bertanding bagi mewarnai pentas politik negeri antaranya Parti Cinta Sabah (PCS), Parti Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Liberal Demokratik (LDP), Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan), Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS), Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat), Parti Kerjasama Anak Negeri (Anak Negeri), Parti Kebangsaan Sabah (PKS) dan Pertubuhan Perpaduan Rakyat Kebangsaan Sabah (Pertubuhan).PCS, sebagai contohnya, tampil gah di bawah kendalian bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dengan meletakkan 73 calon bagi kesemua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Negeri Di Bawah Bayu itu.

Di atas kertas, PCS sebuah parti yang dijenamakan semula dilihat sebagai parti yang paling serius antara parti lokal lain untuk membentuk kerajaan baharu di Sabah.


Dominan

Mengambil kira keadaan politik semasa pada ketika ini yang memperlihatkan kekuatan sama rata antara Warisan Plus serta PN dan sekutu, PCS mampu menjadi kingmaker membentuk kerajaan bersama dengan dua parti paling dominan di Sabah pada ketika ini.

“Semua parti lokal di Sabah mampu menjadi kingmaker. Itu kita tidak boleh nafikan, tetapi cuma PCS berkemampuan demikian setakat ini.

“Saya melihat PCS ini adalah kingmaker terhadap siapa yang akan membentuk kerajaan. Jadi setakat ini Warisan Plus serta PN dan sekutu masih dalam keadaan 50:50 dan akhirnya akan bergantung kepada parti-parti kecil yang boleh menyumbang kepada pembentukan kerajaan negeri,” kata penganalisis politik Sabah daripada Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Romzi Ationg kepada Sinar Harian semalam.


Romzi menambah, sentimen politik di Sabah juga berbeza walaupun ketika ini isu nasional di Semenanjung kian mendapat tempat di mata dan minda masyarakat Sabah.

Cuma, jelasnya, PRN kali ini memperlihatkan rakyat Sabah mahukan sebuah parti yang benar-benar serius untuk menguasai kerajaan negeri dan bukannya hanya bertanding untuk perjuangan parti semata-mata.

“Sentimen di sini ialah hanya PCS yang kelihatan serius untuk memerintah, manakala parti lain (parti lokal) tidak signifikan.

“Apabila sentimen itu dikaitkan untuk menang, hanya PSC yang boleh mengaut keuntungan. Saya mengandaikan PCS sekurang-kurangnya mendapat tiga kerusi. Hanya PCS yang ada kemampuan demikian. Parti lain, magis kalau mereka dapat satu kerusi,” katanya.

Trend PRN Sabah kali ini juga memperlihatkan parti-parti lokal mengetengahkan calon popular yang mempunyai aura tersendiri bagi menyaingi aura Muhyiddin, Datuk Seri Bung Moktar Radin (Ketua UMNO Sabah) dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Presiden Warisan).

Selain PCS yang mengetengahkan pengaruh Anifah, USNO pula menampilkan bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia manakala LDP diperkuatkan dengan bekas Ketua Menteri, Tan Sri Chong Kah Kiat.

Orang lama

Pengarah Pilihan Raya LDP yang juga Naib Presiden parti itu, Datuk Chin Shu Ying berkata, penampilan semula Kah Kiat selepas 13 tahun bersara daripada arena politik membolehkan rakyat Sabah mempunyai pilihan paling baik untuk PRN ini.

“Keyakinan untuk menang itu memang ada. Kalau tidak, kita tidak akan buang masa untuk meletakkan calon di 46 kawasan. Kita buat slogan ‘Kita Cakap Kita Buat’. Rakyat dah bosan dengan janji manis. Bila menang terus lupa janji.

“Kita juga menampilkan bekas Kah Kiat yang bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Inanam. Beliau terkenal dengan tindakan memerangi pendatang tanpa izin dan meningkatkan sektor pelancongan negeri. Beliau juga seorang pemimpin yang bersih, cekap dan dapat melaksanakan tugasnya dengan baik,” katanya.

Namun bagi Dr Arnold Puyok yang merupakan penganalisis politik Malaysia Timur daripada Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), beliau tidak melihat calon yang berpengalaman luas dalam arena politik negara menjadi senjata utama untuk parti-parti bukan dominan itu mencuri kemenangan daripada parti yang lebih besar.

PSC, sebagai contoh, katanya, mungkin hanya menang di kawasan-kawasan tertentu terutamanya di kawasan Kadazandusun-Murut.

“Yang nampak semakin popular ialah Anifah. Pandikar dan Kah Kiat pula kurang popular tetapi mempunyai penyokong tegar masing-masing. Apa yang menarik untuk dilihat ialah PCS. Bagi USNO (47 kerusi) dan LDP, dua parti ini hanya mampu pecah undi tetapi tidak akan menang kerusi dengan jumlah yang signifikan,” katanya.Menyedari meletakkan calon popular mendatangkan pengaruh baik atau buruk, PPRS mengambil pendekatan tidak mahu mengambil sebarang risiko memperjudikan nasib 24 calon mereka.

Pengarah Pilihan Raya dan Strategi PPRS, Amran Rafgik Mahalan menegaskan, calon yang diketengahkan adalah calon yang diinginkan sendiri oleh penduduk setempat yang dilihat mampu menjadi suara dan wakil mereka di dalam Dewan Undangan Negeri.

“Sudah tentu kita telah memilih calon yang diinginkan oleh rakyat itu sendiri, bukan parti yang memilih. Jadi sekarang kita kena ambil perhatian suara rakyat dahulu. Pemilihan calon bukannya bergantung kepada kehebatan dan sejarah politiknya,” kata beliau.

Andai PPRS memperoleh kemenangan sekurang-kurangnya satu kerusi dan mahu membentuk kerajaan bersama, Amran menegaskan, PPRS hanya akan bekerjasama dengan parti yang bebas daripada isu korupsi.

Leave a Reply