Polis kejar suspek, macam dalam filem pula! (video)

Tindakan seorang wanita dan lelaki memecut kereta yang dinaiki ketika mengelak ditahan pihak polis membongkar penemuan kira-kira 1,000 pil kuda yang dianggarkan bernilai RM20,000.

Sebelum diberkas, dalam kejadian kira-kira jam 4.25 petang Selasa itu, pihak polis terpaksa mengejar mereka sejauh lapan kilometer di Bandar Baru Kerteh, di sini.

Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Hanyan Ramlan berkata, tangkapan melibatkan seorang lelaki berusia 32 tahun dan seorang wanita berusia 25 tahun.

“Sebelum itu, pihak kami ada menerima maklumat berhubung kes penjualan dadah yang berlaku di kawasan Kerteh.

“Anggota kami kemudian melakukan rondaan di kawasan terbabit sebelum terserempak dengan kereta yang dinaiki suspek di kawasan Kampung Batu Putih dalam keadaan mencurigakan.

“Sebaik menyedari kehadiran polis, suspek dikatakan bertindak memecut kereta terbabit dan memandu dalam keadaan bahaya,” katanya.

Tambahnya, polis beberapa kali meminta kenderaan terbabit berhenti namun suspek terus memecut untuk meloloskan diri.

“Tindakan suspek yang memandu dalam keadaan bahaya menyebabkan kereta itu melanggar empat kenderaan awam sebelum mereka berjaya ditahan ketika memasuki sebuah restoran makanan segera.

“Beliau percaya suspek datang ke kawasan terbabit untuk menjual dadah dan semakan mendapati suspek lelaki mempunyai rekod lampau berhubung kesalahan dadah,” ujarnya.

Kes akan disiasat mengikut Seksyen 39 (b) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987. Awani

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker