PAS Jamin Pangkah Calon Gagasan Rakyat Sabah

Share

PUTATAN – Penyokong PAS di Sabah tekad akan memberi undi kepada calon Gagasan Rakyat Sabah (GRS) yang merangkumi Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 26 September ini.

Jaminan PAS itu dinyatakan oleh Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man disaksikan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut Tuan Ibrahim jaminan ini satu pengesahan bahawa sikap yang diambil PAS dalam menghadapi PRN Sabah ke-16.


“Saya mewakili PAS, kami datang malam ini untuk menyatakan dan beri jaminan kepada Presiden UMNO yang juga sahabat saya bahawa seluruh pengundi dan penyokong PAS akan beri undi kepada BN, BERSATU dan blok yang mewakili kita semua.

“Semoga semua pengundi bulat tekad memenangkan calon-calon kita pada 26 September ini,” katanya pada majlis ramah mesra pemimpin bersama pengundi di Putatan, malam tadi.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air menyerahkan kepada kebijaksaan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memutuskan calon Ketua Menteri Sabah sama ada Datuk Seri Bung Moktar Radin atau Datuk Seri Hajiji Noor.


“Tunggu lepas PRN, PAS serahkan kepada Perdana Menteri untuk pilih calon Ketua Menteri Sabah,” katanya ringkas.

Selain itu, beliau turut menyatakan bahawa jentera PAS di Sabah akan membantu sehabis daya kerana situasi politik di negeri ini sangat kritikal, terutamanya apabila membabitkan pertembungan banyak penjuru.

“Bilangan 100 atau 200 undi sangat penting, jumlah apa pun penting. Sebab itu kita lihat perlunya muafakat ini didokong bersama untuk agenda yang lebih besar,” ujarnya.


Leave a Reply