MA63 : K’jaan PN komited pastikan hak Sabah, Sarawak terpelihara

Share

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sentiasa komited untuk memastikan hak-hak bagi Sabah dan Sarawak sepertimana yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) adalah terpelihara, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Katanya mesyuarat jemaah menteri pada 9 Sept lalu telah bersetuju untuk menubuhkan Majlis Khas mengenai MA63 yang akan dipengerusikan oleh beliau sendiri dan turut akan dianggotai oleh Ketua Menteri Sabah serta Sarawak, manakala menteri-menteri Persekutuan dan ahli-ahli lain akan dilantik mengikut kesesuaian, kelayakan dan bidang kepakaran masing-masing.

“Majlis Khas ini akan membincangkan isu-isu yang berkait dengan hak-hak Sabah dan Sarawak seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963, antaranya kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai rakan sekutu, hak negeri di bawah Perkara 112 Perlembagaan Persekutuan, MA63 dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC), keselamatan negeri dan pendidikan.


“Majlis Khas ini akan dibantu oleh jawatankuasa sedia ada yang telah ditubuhkan di peringkat kementerian dan agensi persekutuan berdasarkan isu-isu yang berkaitan,” katanya semasa berucap pada majlis sambutan Hari Malaysia 2020, di Stadium Tertutup Sibu, di Sarawak, malam ini.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berharap agar penubuhan Majlis Khas ini akan dapat merungkaikan beberapa isu yang masih tertangguh berhubung hak dan kedudukan Sabah dan Sarawak selaras dengan semangat MA63 dan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

– Bernama


Leave a Reply