Isu Myanmar, Gaza dan kulit hitam dikritik di PBB

Share

PESURUHJAYA Tinggi Untuk Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Michelle Bachelet menyatakan dengan tegas pada Isnin lalu bahawa Myanmar gagal mengambil langkah konkrit terhadap nasib penduduk etnik Rohingya.

Kenyataan itu menunjukkan badan dunia itu mengambil berat terhadap kebertanggujawaban isu mengenai para pelarian etnik tersebut yang kini sebahagian besarnya mendapat perlindungan di kem pelarian di Bangladesh.

Ketika bercakap kepada pembukaan Majlis Hak Asasi Manusia PBB ke-45 di Geneva, Switzerland, dia turut menegaskan dialogi interaktif berhubung pelaksanaan dan syor-syor daripada Misi Mencari Fakta mengenai situasi hak asasi manusia di Myanmar.


Teguran Bachelet itu dibuat sesuai dengan pilihan raya yang akan dilaksanakan di negara itu pada bulan November ini.

Dia berterus-terang dengan berkata, sebahagian besar etnik Rohingya tidak dapat mengundi pada pilihan raya tersebut disebabkan mereka telah digugurkan daripada hak-hak mengundi.

“Tiga tahun telah berlalu sejak operasi ketenteraan di Rakhine mewujudkan krisis kemanusiaan yang dahsyat. Situasi ratusan ribu pelarian Rohingya dan perpindahan dalaman penduduk tidak dapat diselesaikan,” katanya.


Pada tahun 2019, Misi Mencari Fakta memutuskan Myanmar terhutang berhubung tanggungjawab kerajaan di bawah kejadian pembunuhan beramai-ramai dan jenayah menentang kemanusiaan termasuk pencabulan undang-undang hak asasi manusia serta undang-undang kemanusiaan antarabangsa, tambahnya.

“Majlis ini dan Perhimpunan Agung turut menekankan gesaan untuk bertanggungjawab. Namun, amat disesalkan, tiada langkat konkrit telah diambil,” ujar ketua hak asasi PBB itu.

Ketika ini, kebanyakan penduduk di Rakhine, China Mro, Daignet dan komuniti Rohingya semakin terjejas akibat konflik tentera yang turut hilangnya kehilangan orang awam dan pembunuhan mereka, perpindahan penduduk awam tangkapan sewenang-wenangnya, penderaan dan kematian ketika berada dalam tahanan serta kemusnahan harta benda orang awam, tambahnya.


Ketika berucap, Bachelet yang merupakan bekas presiden Chile berkata, inisiatif kebangsaan termasuk mahkamah tentera dan Suruhanjaya Pertanyaan Kebangsaan tidak memenuhi standard antarabangsa.

“Saya menggalakkan lagi supaya kerajaan Myanmar untuk bekerjasama penuh dengan agensi siasatan dan kehakiman antarabangsa bagi memastikan keadilan disampaikan serta menyokong proses peralihan kerajaan yang amat penting untuk keamanan berkekalan,” tambahnya.

Pesuruhjaya tinggi PBB itu turut berkata: “Ini mengganggu apabila sejumlah imej satelit menunjukkan dan pengakuan saksi menunjukkan kawasan di Rakhine telah terbakar sejak beberapa bulan lalu.”

“Saya maklum bahawa kerajaan (Myanmar) menentang ini berdasarkan kepada kajian semula data satelit. Ini hanya menggariskan keperluan untuk penyiasatan yang bebas,” katanya.

“Pentadbiran kerajaan sedang mengklasifikasikan tempat-tempat terletaknya penduduk Rohingya, mengubah nama kampung-kampung dari peta rasmi dan dengan potensi mengubah bagaimana tanah itu mungkin digunakan,” kata Bachelet.

Tambahnya, ucapan kebencian termasuk Islamofobia juga meluas di negara itu.

Kenyataan mengenai Myanmar itu dibuat selepas pemimpin negara tersebut yang juga merangkap Kaunselor Negara, Aung San Suu Kyi tidak akan dijemput menghadiri majlis hadiah hak asasi Parlimen Eropah yang dimenanginya pada tahun 1990.

Ia adalah satu bentuk protes daripada ahli-ahli parlimen Eropah tentang pembunuhan beramai-ramai yang berlaku di negaranya dalam satu keputusan yang dibuat pada Khamis lalu.

Sementara itu, ucapan Bachelet di PBB turut menyentuh tentang pendudukan Israel di Gaza yang semakin membimbangkan dan menyatakan penyelesaian jangka panjang diperlukan walaupun gencatan senjata antara Hamas dengan negara Yahudi tersebut menunjukkan perkembangan menggalakkan.

Sekatan yang dilakukan oleh rejim Zionis di Gaza selama 13 tahun itu telah menjejaskan aktiviti ekonomi di wilayah tersebut.

Sebagai contoh, kata Bachelet, lebih 38 peratus penduduk Gaza tinggal dalam kemiskinan dan 50 peratus lagi tidak mempunyai pekerjaan.

Sejak tahun 2007, Genting Gaza telah mengalami sekatan penghantaran barang dari Israel dan Mesir yang menjejaskan penduduk wilayah itu dan ekonominya dengan situasi kemanusiaan semakin buruk dari semasa ke semasa.

Israel telah berperang dengan Hamas sebanyak tiga kali dan kedua-duanya telah menghentikan kebanyakan pertempuran sejak berlakunya pandemik koronavirus (Covid-19).

Menyentuh tentang masalah perkauman di Amerika Syarikat (AS), pesuruhjaya tinggi PBB itu berkata, AS perlu melakukan pembaharuan selepas pembunuhan lelaki berkulit hitam, George Floyd di Minneapolis pada bulan Mei lalu.

AS perlu mewujudkan persekitaran bagi memastikan penduduk Afrika Amerika berasa mereka dilindungi oleh penguat kuasa undang-undang negara itu.

Floyd dipercayai meninggal dunia akibat tindakan pegawai polis berkulit hitam yang melakukan tindakan menekan lutut pada lehernya ketika ditahan atas dakwaan menggunakan wang palsu sehingga menyebabkan wujudnya pergerakan Black Lives Matter yang menuntut keadilan dalam kalangan orang kulit hitam. – Agensi

Leave a Reply