In God We Trust, mana kiblat Shafie, Sabah atau Filipina?

Share

PRN SABAH | Slogan yang digunakan Ketua Menteri sementara Sabah, Mohd Shafie Apdal di beberapa papan tanda negeri itu telah mendapat kritikan pihak lawan.

Menurut Pengerusi BN Sabah Bung Moktar Radin, slogan In God We Trust yang digunakan di papan tanda serta menampilkan wajah Shafie sama dengan cogan kata Filipina.

Tambah Bung Moktar, Mohd Shafie tidak wajar meniru kata-kata atau slogan pihak lain, terutamanya dari negara yang kini menuntut Sabah.


“Mengapa kenyataan ini mirip slogan negara jiran?” katanya seperti dipetik portal The Daily Express.

Bung Moktar turut mengkritik slogan lain yang digunakan pada papan tanda memaparkan wajah Mohd Shafie.

Menurut laporan itu lagi, Bung mendakwa slogan ‘’We are here to build a nation” (Kami di sini untuk membina negara) turut dilihat seperti memberi harapan ke atas tuntutan dibuat negara jiran itu.


Sabah kini dalam tempoh berkempen bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) yang akan diadakan pada 26 Sept ini.

Mohd Shafie merupakan presiden Warisan yang menjadi parti pemerintah Sabah sebelum dewan undangan negeri (DUN) dibubarkan ekoran cubaan digerakkan wakil Umno di situ, Musa Aman, mengambil alih kerajaan.

Cuba mempertahankan kerajaan negeri dengan mendapatkan mandat baru daripada rakyat, Mohd Shafie dan Warisan berdepan beberapa cabaran, termasuk kewujudan blok politik baru dikenali Gagasan Rakyat Sabah yang menggabungkan BN, Perikatan Nasional dan Parti Bersatu Sabah (PBS).


Untuk rekod, baru-baru ini, beberapa ahli politik di Filipina mula mengorak langkah untuk memperbaharui tuntutan ke atas Sabah.

Suatu rang undang-undang juga dicadangkan untuk meminda Akta Pasport Filipina 1996 dan memasukkan Sabah dan Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) sejauh 200 batu ke dalam peta negara berkenaan.

Ia telah mendapat kritikan hebat dari Malaysia dan juga menjadi sebahagian topik kempen pada PRN Sabah kali ini.

Leave a Reply