Turunkan bendera atas kehendak tuan rumah, Mereka hanya mahu bendera BN – Chaya Sulaiman

Share

Calon Barisan Nasional (BN) Kukusan, Chaya Sulaiman menafikan jentera kempennya bertindak tidak “gentleman” apabila menurunkan bendera parti lawan ketika sesi walkabout bertemu pengundi di Kampung Airport Lama.

Tegasnya, tindakan menurunkan bendera parti lawan sebelum memasang bendera BN dengan menggunakan kayu yang sama itu adalah atas kehendak tuan rumah di kampung tersebut.

“Itu bukan kita yang mahu tetapi tuan rumah. Mereka yang minta bendera (parti lawan) diturunkan dan ditukar kepada bendera BN. Mereka tanya mana bendera (BN) dan meminta kita memasangnya.


“Bukan tujuan kita untuk menurunkan bendera parti lawan tapi tuan rumah yang mahu,” katanya sekali lagi apabila ditanya wartawan kenapa bendera tidak diletak bersama secara berganding agar tidak menimbulkan salah faham.

Beliau juga menafikan bahawa pihaknya menabur duit agar penduduk kampung bertindak mengikut telunjuk mereka agar menurunkan bendera parti lawan yang sudah terlebih dahulu dipasang di hadapan rumah mereka.

“Tiada. Kita tiada guna duit walau satu sen pun. Itu keikhlasan mereka sendiri. Kita buat (pasang bendera BN) mestilah dengan keizinan tuan rumah. Mereka sendiri yang tanya mana bendera kita,” tegasanya.


Beliau ditemui media pada kempen Radu Kukusan dan Tanjung Batu di PDM Banyan, Taman King Fook ketika menghadir majlis Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa serta calon Tg Batu, Andi Muhamad Suryady Bandi.

Sebelum itu, netizen, termasuk penyokong-penyokong Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) yang turut bertanding dalam pertembungan 7 penjuru di Kukusan menerusi calonnya, David Wong mempertikaikan tindakan jentera parti Ketua Wanita UMNO Kalabakan itu.

Sebuah portal menyiarkan video kejadian menurunkan bendera Harapan Rakyat yang diganti dengan bendera BN yang disifatkan sebagai amat bermakna bukan hanya kepada calon tetapi juga jentera parti apabila rakyat menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada BN.


Terdahulu, Chaya ketika berucap pada kempen Radu itu mengakui agak gementar kerana tidak menyangka akan berucap di hadapan dua tokoh besar BN apabila terpilih menjadi calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Beliau yang setia kepada UMNO ketika berdepan detik-detik sukar dan senang, menunggu 31 tahun dan akhirnya rezekinya sampai untuk ditampilkan sebagai calon dan sekaligus berharap pengundi tua dan muda tanpa mengira latar belakang akan memberi kemenangan kepada beliau pada 26 September depan.

Sumber: BNNewsOnline

Leave a Reply