Tragedi Tanduo: Zahid Tegaskan Bukan Orang Sabah Saja Pertahankan Sabah

Rakyat Sabah perlu menyedari bahawa bukan hanya orang Sabah yang mempertahankan kedaulatan negeri ini semasa tragedi hitam dalam sejarah negara ketika peristiwa Tanduo pada 2013 tetapi juga orang daripada Semenanjung Malaysia dan Sarawak.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau tidak dapat melupakan peristiwa semasa menjadi Menteri Pertahanan ketika itu apabila terpaksa mengambil satu tindakan nekad untuk memastikan kedaulatan Sabah sebagai sebahagian daripada Malaysia, tidak diceroboh.

Ketika itu, katanya, beliau melihat wujud semacam perancangan cukup licik dilakukan pihak penceroboh ke Tanduo dan beliau menyaksikan sendiri mereka menyatakan kononnya Sabah adalah sebahagian daripada Filipina dan Kesultanan Sulu.

“Saya terlibat secara peribadi sebagai Menhan (Menteri Pertahanan) turun ke Sabah – Lahad Datu – Tanduo – Felda Sahabat dan ke lapangan walaupun saya orang Semenanjung kerana saya bertanggungjawab mempertahankan tanahair kita, tanah Sabah.



“Soal keselamatan ini bukan satu tanggungjawab yang kecil… Adakah dengan mengatakan bahawa kita tidak mahu pemimpin Semenanjung kerana (mereka dari) parti Malaya (sedangkan) inilah parti yang memerintah kerajaan negeri dahulu.

“Pemimpinnya asal dari mana? Saya Naib Presiden, dia pun Naib Presiden (Datuk Seri Mohd Shafie Apdal – Presiden Warisan) tapi saya Naib Presiden I, dia Naib Presiden 2…. DNA, darahnya dari mana? Dari UMNO,” katanya pada kempen Radu Kukusan dan Tanjung Batu di PDM Banyan, Taman King Fook.

Menurut Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu, parti DAP yang menggunakan lambang Warisan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, PKR dan Amanah yang bertanding satu kerusi pun turut berasal dari Semenanjung Malaysia.

“Ini bukan soal Malaya atau Semenanjung atau Sabah kerana kita semua adalah rakyat Malaysia. Yang mempertahankan tanah Sabah bukan hanya orang Sabah tetapi kami dari Semenanjung dan Sarawak kerana negeri ini adalah sebahagian daripada tanahair kita,” katanya lagi.



Ahmad Zahid kesal apabila salah seorang pemimpin negeri ini menyatakan soal tuntutan Filipina ke atas Sabah “boleh dirundingkan” sebagai menjawab kenyataan seorang Ahli Parlimen di Manila yang berasaskan tuntutan itu mesti dihidupkan semula.

“Negeri Sabah yang (sudah) merdeka, mana ada rundingan (lagi). Tak ada. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 1963 mengiktiraf Sabah adalah sebahagian dalam Malaysia dan tiada mana-mana pihak boleh menjalankan perundingan kerana Sabah negeri dalam Malaysia,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau mahu agar rakyat memberi undi kemenangan dan mandat membentuk kerajaan baharu kepada calon-calon BN dalam PRN Sabah kali ini yang disifatkannya luar biasa apabila 447 calon bertanding merebut 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Sabah ini luar biasa. Kemeriahan ini tiada di negeri lain sebab hobi orang Sabah apabila ada pilihanraya adalah mahu jadi calon. Menang atau kalah tak penting. Tapi tak apa… Mereka nak jadi calon, jadi lah, asalkan pilih calon BN apabila mengundi nanti.



“Kita mesti saling percaya baharulah Sabah boleh berubah.. Menang BN, menanglah Chaya (Sulaiman), BN kembali memerintah Sabah. InsyaAllah. Rakyat cukup rindu untuk BN kembali memerintah,”katanya disambut tepukan gemuruh para penyokongnya,” ujarnya lagi. BN

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker