Tindakan terdesak persoal status PN, tandus isu, kata Hamzah

Share

Tindakan pihak yang mempersoalkan status pendaftaran Perikatan Nasional (PN) adalah terdesak dan ketandusan isu dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Setiausaha Agung PN Hamzah Zainudin dalam kenyataan hari ini berkata, pihak berkenaan sebaliknya bimbang dan merasakan diri mereka terancam apabila melihat sambutan dan penerimaan baik rakyat terhadap gabungan itu sejak kebelakangan ini.

“Saya ingin menegaskan pendaftaran PN sudah diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) pada 7 Ogos lalu dan teratur mengikut Akta Pertubuhan 1966.


“Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga sudah meluluskan permohonan pendaftaran logo PN untuk digunakan sebagai lambang di atas kertas undi dan semua calon PN bertanding menggunakan logo PN diumumkan layak bertanding pada hari penamaan calon 12 September lalu,” katanya.

Kenyataan Hamzah dipercayai bagi menjawab dakwaan Pemuda PKR, tidak ada rekod pendaftaran parti PN ditemui hasil semakan dibuat melalui laman sesawang JPPM.

Naib Ketua Pemudanya Syed Badli Shah Syed Osman berkata, beliau sendiri sudah membuat semakan itu dan setakat jam 2.22 pagi hari ini tiada rekod berkaitan berjaya dipaparkan.


Hamzah berkata, PN akan terus memperkasa jenteranya dalam memastikan kemenangan semua calon bertanding dan yakin isu palsu berunsur fitnah dan berniat jahat tidak akan mempengaruhi keputusan pengundi untuk memilih PN sebagai parti prihatin membela rakyat.

JPPM sebelum ini mengesahkan PN sudah didaftar dan diluluskan berkuatkuasa 7 Ogos lalu bawah kategori politik selaras peruntukan Akta Pertubuhan 1966.

JPPM berkata, dakwaan maklumat kelulusan PN tidak terdapat dalam sistemnya tidak benar kerana sistem di laman sesawang JPPM bagi kelulusan sesebuah pertubuhan dikemaskini secara automatik setiap 2 bulan. FMT


Leave a Reply